Tiga jam bawa keluar mangsa cedera

Iklan
Anggota bomba yang tiba memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum operasi diteruskan dengan membawa keluar mangsa bagi mendapatkan rawatan lanjut. -Foto JBPM Perak

IPOH - Anggota bomba mengambil masa hampir tiga jam untuk membawa keluar seorang remaja orang asli yang cedera selepas tergelincir ketika mandi di air terjun Silibin berhampiran Kawasan Perindustrian Ringan Silibin 1, di sini hari ini.

Mangsa, Azhar Jahari, 19, berasal dari Pengkalan Hulu, dilaporkan mengalami patah kaki kiri dan rasa sakit di bahagian dada akibat terhempas pada batu.

Iklan
Iklan

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Sharudi Muhamad Halil berkata, 18 anggota melibatkan Balai Bomba dan Penyelamat Meru Raya, Ipoh dan Pasir Puteh dikejarkan ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada jam 4.48 petang.

"Setibanya di Kampung Sungai Silibin, anggota perlu mendaki dan melalui kawasan hutan sejauh 2 kilometer untuk mendapatkan mangsa.

Iklan

"Anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) telah memberi rawatan awal kepada mangsa dan operasi diteruskan untuk membawa keluar mangsa," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Menurutnya, mangsa dibawa keluar dengan menggunakan pengusung bermula pada jam 6.30 petang.

Iklan

"Operasi membawa mangsa dilakukan secara bergilir-gilir sesama anggota sehingga tiba di pinggir kampung pada jam 9.20 malam.

"Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pegawai perubatan yang sedia menunggu untuk dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi mendapatkan rawatan lanjut," katanya.