KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Belanjawan Negeri Pahang 2024 yang dibentangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Isnin memperkenalkan beberapa inisiatif kepada rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, perkara baharu yang diketengahkan Kerajaan Pahang termasuk Penubuhan Akademi Mineral Malaysia Pahang di Lipis.
Menurutnya, sebanyak RM2.21 juta diperuntukkan bagi penubuhan akademi terbabit.
"Akademi ini berperanan sebagai pusat pembelajaran yang menawarkan program pendidikan dan latihan serta perkhidmatan teknikal berasaskan industri mineral.
"Akademi Mineral Malaysia Pahang merupakan salah satu komponen di bawah Cadangan Pembangunan Taman Teknologi Bersepadu Lipis (TTBL) dan akan menyumbang kepada penyelidikan dalam industri mineral bagi menghasilkan teknologi dan proses yang lebih cekap, inovatif dan mesra alam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas selesai sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2024 di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang, di sini pada Isnin.
Wan Rosdy berkata, kerajaan Pahang memilih Lipis sebagai daerah pembinaan akademi itu kerana kebanyakkan sumber mineral terdapat di Pahang Barat.
"Sebab buat di Lipis kerana mineral ini banyak di Pahang Barat di mana senang untuk anak-anak yang belajar di akademi membuat amalan atau latihan praktikal di lokasi,” ujarnya.
Wan Rosdy memberitahu, selain akademi terbabit, kerajaan Pahang turut berhasrat untuk menyediakan Tabung Prihatin Pahang dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.
"Ia sebagai satu tabung kepada golongan kumpulan B40 yang memerlukan bantuan yang bersesuaian untuk meneruskan kelangsungan hidup serta untuk membiayai penyakit kronik.
"Malah, ia merupakan tabung kecemasan untuk rakyat Pahang yang memerlukan bantuan untuk mendapatkan bantuan segera tanpa perlu menunggu lama,” ujarnya.
Dalam pada itu, Rosdy Wan berkata, Belanjawan ini juga merupakan yang pertama kali dibentangkan selepas PRU-15 dan melibatkan Kerajaan Perpaduan Negeri Pahang.
Ujarnya, Belanjawan Pahang 2024 merupakan Belanjawan Lebihan (Surplus) sebanyak RM12 juta.
"Kita sasaran kutipan hasil pada 2024 sebanyak RM1.137 bilion dengan peningkatan peratus peratus berbanding tahun ini merupakan yang tertinggi dalam sejarah Negeri ini," katanya.
.........................................................................................................................................
DUN Pahang sebulat suara lulus solidariti Palestin
KUANTAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) sebulat suara meluluskan usul menyatakan solidariti untuk rakyat Palestin atas kekejaman dan kezaliman zionis Israel.
Usul yang dikemukakan Exco Hal Ehwal Agama Islam, Kemajuan Desa Dan Hal Ehwal Orang Asli Pahang, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad susulan pembunuhan berterusan terhadap rakyat di Gaza.
Bagaimanapun usul itu telah dibahaskan wakil Pakatan Harapan (PH)-Tras, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji dan Perikatan Nasional (PN)- Jengka, Shahril Azman Abd Halim sebelum ia dilulus sebulat suara.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, bantahan ini juga susulan tindakan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilihat gagal mengekang serangan berterusan rejim Zionis.
Tegasnya, usul itu dibuat bagi membuktikan kekejaman yang dilakukan mendapat wakil rakyat di negeri ini, selain penyaluran bantuan kewangan.
"Jadi, kita akan serah sendiri sumbangan kepada negara Palestin dan kita tidak melalui orang tengah. Satu usul (Palestin) akan kemukakan di DUN dan ini jelas membantah serangan Israel kepada Palestin itu tujuan kita," katanya
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas selesai sesi pembentangan Belanjawan Pahang 2024 di Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Persidangan DUN Pahang ke-15 di Wisma Sri Pahang,di sini pada Isnin.
Wan Rosdy menambah, setakat ini sebanyak RM700,000 berjaya dikumpulkan melalui Tabung Palestin 2.0.