KLANG - Seorang ibu tunggal hanya bergantung punca rezeki sebagai pembantu kedai makan untuk menyara ibu, kakak dan anak lelakinya berusia setahun.
Nor Atikah Ahmad, 30, yang menetap di Kampung Sungai Serdang, Kapar dekat sini mengambil tanggungjawab sebagai ketua keluarga bagi menyara tiga ahli keluarganya itu sejak dua bulan lalu.
Menurut Nor Atikah, ibunya, Saerah Che Lah, 57, mengalami masalah penglihatan pada mata kiri akibat terkena getah ketika menoreh di kampung halaman keluarganya di Pekan, Pahang.
Nor Atikah memberitahu, kakaknya, Noriah Ahmad, 40, pula mengalami masalah gangguan emosi.
Menurut anak bongsu daripada empat beradik itu, dia berpisah dengan bekas suaminya ketika tempoh berpantang melahirkan Mohd Iqbal Abdullah pada Jun tahun lalu.
"Saya perlu kuat demi keluarga dan anggap ini ujian yang terpaksa kami tempuhi pada masa ini," katanya.
Nor Atikah memberitahu, setiap hari dia yang bekerja di kedai makan di kampung itu berjalan sejauh tiga kilometer (km).
"Biarpun terpaksa berjalan kaki agak jauh, hati saya puas kerana dapat berkorban demi ibu, kakak dan anak.
"Apa yang penting mereka bahagia dan gembira dengan rezeki halal daripada gaji saya yang tidak seberapa," ujarnya.
Jelasnya, mereka kini hanya mampu menyewa rumah yang terletak berdekatan kedai makan tempatnya bekerja.
Tambah Nor Atikah, dia berhasrat mahu berpindah ke rumah lain kerana rumah sewanya itu akan diambil semula pemiliknya.
"Kami ikhtiar mencari rumah sewa lain, tetapi kami tidak mampu kerana kos sewa bulanan yang tinggi," katanya.
Sementara itu, wakil Masjid Jamiul Ridwan Kampung Sungai Serdang, Rahim Iska berkata, pihaknya akan membantu pendaftaran Nor Atikah sebagai asnaf kepada pihak berkaitan terutama Lembaga Zakat Selangor (LZS).
"Kami simpati nasib dialami keluarga ini dan berusaha mencari jalan penyelesaian agar mereka dapat diberi bantuan sewajarnya," jelasnya.
Orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan kepada tiga beranak itu boleh menghubungi mereka di talian 011-69770438.