KUALA LUMPUR - Rasuah umpama penyakit berjangkit yang mudah menular antara satu sama lain kerana sifat manusia mahu hidup senang melalui cara mudah.
Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Seri Azhar Abdul Manaf berkata, walaupun perbuatan itu tidak disukai ALLAH SWT tetapi kini ia menjadi sebagai satu cara berurusan antara peminta dan pemberi.
Menurutnya, rasuah bukan sahaja merosakkan keadilan dan keharmonian sosial, malah merugikan pertumbuhan ekonomi serta kelestarian sesebuah organisasi.
"Kita boleh lihat dalam akhbar, banyak projek gagal diselesaikan kerana berlaku rasuah dalam sesuatu proses. Fenomena bukan hanya berlaku di negara kita malah di seluruh dunia,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan Hari Anti Rasuah Antarabangsa 2023 di Universiti Kuala Lumpur (UniKL) pada Isnin.
Dalam pada itu, Azhar memaklumkan, jenayah rasuah merupakan isu kritikal yang perlu dibendung segera secara sistematik dan menyeluruh.
Tambahnya, tidak berbuat sedemikian, ia boleh menyebabkan berlaku peningkatan jumlah kos modal dan pembangunan program atau projek yang dilaksanakan.
Beliau berkata, keterlibatan semua pihak tanpa mengira agama, bangsa dan kaum perlu dititikberatkan malah turut bersama-sama menyokong dalam membantu menjayakan agenda anti rasuah.
Pada masa sama, Azhar turut mengucapkan tahniah kepada UniKL kerana menjadi institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) pertama melaksanakan modul Kursus Integriti dan Anti Rasuah dalam kalangan mahasiswa.
"Memerangi rasuah bukanlah sekadar tentang undang-undang dan peraturan, tetapi tentang membina budaya yang menghormati integriti dan nilai-nilai yang kukuh. Integriti kita akan diuji apabila tiada orang yang melihat.
"Jika diajar dari awal usia tentang kepentingan integriti, saya yakin kita akan menang dalam peperangan kita ini,” ujarnya.
Menurut Azhar lagi, orang ramai perlu meningkatkan kefahaman dan pendidikan mengenai bahaya rasuah serta menggalakkan sikap moral dan integriti dalam setiap aspek kehidupan.
Katanya, melalui pendidikan dan kesedaran, masyarakat boleh melahirkan generasi yang mementingkan nilai-nilai kejujuran, keadilan, dan bertanggungjawab.