Mendapan tanah, rumah retak resahkan penduduk

Iklan
Runtuhan Tanah akibat mendapan berhampiran rumah penduduk. Gambar kecil dari kiri: Zakiah, Tak Liang, Asniza

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Mendapan tanah yang berlaku lebih lima tahun lalu kian meresahkan penduduk di Taman Temerloh Makmur dekat sini yang semakin hari gusar dengan keselamatan mereka.

Sejak 2017 lalu, mendapan itu menyebabkan tanah runtuh berhampiran kediaman mereka selain keretakan dalam rumah penduduk.

Iklan
Iklan

Seorang penduduk, Asniza Mat Hussin, 50, berkata, lebih membimbangkan apabila musim hujan kerana kadangkala air memasuki rumah menerusi lubang retak yang dialami pada kediamannya.

"Hidup pun tak tenang setiap hari memandangkan rumah saya yang paling hujung, risau dengan keselamatan keluarga," katanya.

Iklan
Asniza menunjukkan kesan retakan dalam rumahnya akibat mendapan tersebut.

Seorang lagi penduduk, Zakiah Ismail, 55, berkata, penduduk sangat mengharapkan pihak terlibat segera mengambil tindakan tepat dan bersesuaian dalam mengatasi masalah tersebut.

"Kalau tak dapat atasi semua, kalau boleh baiki segera longkang dulu kerana ia antara punca utama mendapan yang berlaku.

Iklan

"Setiap kali keluar meniaga memang risau dibuatnya dengan keadaan rumah dan anak-anak," jelas peniaga pasar malam itu yang tinggal di taman tersebut lebih 20 tahun lalu.

Bagi warga emas, Lui Tak Liang, 63, pula mengakui dia sudah tidak berani tinggal di rumah tersebut disebabkan masalah yang timbul.

"Sudah beberapa kali aduan dibuat tapi masih belum ada penyelesaian hingga sekarang," jelasnya.

Mereka ditemui ketika tinjauan Ahli Parlimen Temerloh, Salamiah Mohd Nor bersama wakil-wakil agensi terlibat antaranya Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) dan Indah Water Konsortium (IWK) baru-baru ini.

Salamiah turut berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera demi keselesaan penduduk yang gusar dengan keselamatan mereka.

Salamiah (tengah) ketika meninjau keadaan di kawasan mendapan di taman tersebut

Dalam pada itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) taman itu, Ainuddin Zainal Akli berkata, terdapat beberapa lorong melibatkan 45 buah rumah yang terjejas akibat mendapan itu.

"Mendapan itu juga menyebabkan masalah pungutan sampah kerana kenderaan yang digunakan tidak dapat memasuki lorong terlibat menyebabkan kesukaran pada petugas mengutip sampah.

"Ia menyebabkan lorong terlibat terpaksa ditutup sejak 2021 hingga sekarang demi faktor keselamatan kerana sebelum ini terdapat orang luar yang tidak tahu keadaan ini menyebabkan beberapa kenderaan tersangkut," jelasnya.

Paip kumbahan pecah

Sementara itu, Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) telah membuat penyelarasan dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) susulan isu mendapan tanah di Taman Temerloh Makmur di sini.

Yang Dipertua MPT, Suris Mihat memberitahu, pihak IWK sedang dalam proses permohonan peruntukan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

Menurutnya, sebaik peruntukan itu diperoleh, MPT akan membuat pembaikan segera paip kumbahan pecah dan juga pembaikan cerun yang runtuh.

"Isu ini bermula 2017 dan MPT telah melakukan pembaikan segera dengan kos RM20,000 dan seterusnya pembaikan diteruskan pada tahun 2018 melibatkan kos sebanyak RM398,740," katanya kepada Sinar Harian.

Ujar beliau, oleh kerana taburan hujan yang agak tinggi di daerah Temerloh, mendapan tanah berlaku semula pada 2020.

Jelas Suris, pihak IWK telah melantik perunding bagi menjalankan kajian kes dan mereka bentuk pelan dan cadangan slope protection.

"Selepas pembaikan tersebut selesai dibuat katanya, pihak MPT akan membantu untuk menyelesaikan kerja-kerja pembaikan longkang dan jalan yang mengalami kerosakan akibat mendapan tanah.

"Kita juga akan ikhtiarkan untuk mendapatkan peruntukan pembangunan dari beberapa kementerian seperti KPKT dan Kementerian Ekonomi," katanya.