PWS terima wakaf tunai korporat KPS Berhad RM200,000

Iklan
Wakaf tunai korporat diserahkan Suzila (kiri) kepada lbrahim.

SHAH ALAM - Kumpulan Perangsang Selangor Berhad (KPS Berhad) menyerahkan sumbangan wakaf tunai korporat kepada Perbadanan Wakaf Selangor (PWS) berjumlah sebanyak RM200,000 pada Isnin.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PWS, Anuar Hamzah Tohar berkata, KPS Berhad adalah syarikat milik kerajaan negeri Selangor (GLC) pertama yang melaksanakan wakaf tunai korporat tersebut.

Iklan
Iklan

Menurut Anuar yang turut memangku tugas Ketua Pegawai Eksekutif PWS, PWS terus komited dalam membudayakan amalan berwakaf dan PWS menyeru kepada syarikat swasta atau korporat lain untuk mengambil peluang berwakaf.

"PWS menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada KPS Berhad serta seluruh warga kerja KPS Berhad dalam melaksanakan ibadah wakaf ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan
Kakitangan KPS Berhad dan PWS bergambar bersama selepas majlis penyerahan pada Isnin.

Terdahulu, wakaf tunai korporat diserahkan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Kewangan dan Perkhidmatan Korporat KPS Berhad, Suzila Khairuddin kepada Pengerusi PWS, Datuk lbrahim Md Yusof.

Dalam pada itu, ujar Anuar, antara kelebihan berwakaf melalui PWS adalah setiap wakaf tunai korporat yang disalurkan kepada PWS, pihak pewakaf layak untuk mengambil agihan semula sebanyak 33 peratus bagi tujuan membantu mana-mana institusi yang memerlukan dengan syarat bantuan tersebut adalah pembelian aset yang mana jangka hayatnya melebihi lima tahun.

Iklan

Jelasnya, ini bertujuan untuk mengekalkan konsep wakaf tersebut iaitu jariah berpanjangan selagi ia digunakan.

Kata beliau lagi, KPS Berhad turut menggalakkan kakitangannya untuk melaksanakan wakaf tunai melalui potongan caj serendah RM1.

"Pihak syarikat dan kakitangan KPS Berhad layak untuk mendapatkan 10 peratus potongan cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN)," tambahnya.