GUA MUSANG - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) akan memperoleh kelulusan pewartaan tanah seluas 769 hektar sebagai ladang bagi masyarakat Orang Asli suku kaum Temiar di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis di sini.
Ketua Pengarah JAKOA, Datuk Sapiah Mohd Nor berkata, pihaknya sudah mendapat susun atur dan nombor pendaftaran warta bagi tanah terbabit.
Beliau berkata, ia akan diusahakan sebagai Ladang Tanaman Semula Komersial (TSK) dan 236 peserta Orang Asli juga bakal menerima elaun sara hidup bulanan sebanyak RM100 yang akan disalur melalui Agrobank sementara menunggu hasil tuaian.
"Kita berterima kasih kepada jabatan Kerajaan Negeri Kelantan atas kerjasama yang diberikan untuk membersihkan tanah dalam masa yang sama proses permohonan pewartaan dilakukan.
"Rentetan itu, kita dapat membangunkan tanah yang terbengkalai hampir 30 tahun di kawasan Orang Asli ini dengan syarikat di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) di bawah RISDA Plantation,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pengagihan Elaun Sara Hidup Peserta Ladang TSK di Pejabat JAKOA RPS Kuala Betis pada Isnin.
Mengulas lanjut, Sapiah berkata, ketika ini pihaknya juga dalam proses mengukur kawasan bagi pembinaan pejabat, penempatan serta pembangunan infrastruktur dan ekonomi lain untuk masyarakat Orang Asli di sini."Kita kini dalam perancangan dan sedang mengukur kawasan untuk membangunkan satu pusat sehenti Orang Asli... dijangka pada 2026, kita dapat bangunkan satu Kompleks Orang Asli seperti di Sungai Siput, Perak yang lengkap dengan rumah kedai, hotel, bank, balai polis, stesen bas dan kawasan ekopelancongan,” katanya.
Beliau juga berkata, JAKOA dengan kerjasama Kementerian Komunikasi dan Digital akan membangunkan tiga pencawang Internet Starlink bagi kemudahan komunikasi Orang Asli di Pos Hau, Pos Belatim serta Pos Gob.
"Memandangkan pembinaan jalan bersepadu akan mengambil masa dua tahun untuk disiapkan, sistem Starlink akan diletakkan bagi menggantikan perhubungan.
"Pemasangan akan dibuat awal tahun hadapan, jadi JAKOA daerah mudah mendapat maklumat sekiranya berlaku bencana malah pembinaan projek jalan bersepadu akan dimulakan Januari tahun depan disebabkan beberapa isu yang dihadapi pihak terlibat," katanya. - Bernama