Terengganu kekalkan pengecualian cukai pintu kediaman

Iklan
Wan Sukairi

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu mengekalkan pengecualian cukai pintu kediaman walaupun merekodkan kehilangan hasil negeri dalam jumlah yang besar selepas ia dilaksanakan bermula 2018.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, buat masa ini apa yang telah dilaksanakan itu masih dikekalkan kerana mengambil kira bebanan yang ditanggung rakyat ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pengecualian cukai pintu merupakan antara manifesto Pas yang ditawarkan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

"Kita perlu mengambil kira pelbagai faktor yang memberikan ‘win-win situation’ untuk kebaikan rakyat dan juga negeri.

Iklan

"Walau kelihatan seperti kehilangan pendapatan buat negeri, namun langkah itu juga antara usaha kerajaan negeri meringankan beban hidup rakyat,"katanya memetik laporan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada Isnin.

Wan Sukairi berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung desas-desus tular di media sosial mengatakan kerajaan negeri sedang mempertimbangkan cadangan untuk kembali melaksanakan kutipan cukai pintu kediaman secara bersasar.

Iklan

Jelas beliau, isu tersebut timbul ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Bajet baru-baru ini selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) negeri mencadangkan pengecualian cukai pintu dikaji bagi mengatasi masalah kekurangan hasil yang agak besar.

"Setiap cadangan yang diterima, pihak kami akan kaji dan pertimbang dengan teliti sebelum mengambil keputusan muktamad," ujarnya.

Menurut Wan Sukairi, isu hasil negeri dibangkitkan ekoran tindakan Kerajaan Persekutuan yang belum menjelaskan baki pembayaran royalti yang menjadi hak rakyat Terengganu.

Berdasarkan rekod, Terengganu kehilangan hasil sebanyak RM82.5 juta selepas pelaksanaan pengecualian cukai pintu sepanjang 2018 hingga 2023.

Berdasarkan data, kutipan cukai pintu rumah kediaman yang sepatutnya dikutip ialah RM9.7 juta pada 2018, 2019 (RM12.73 juta), 2020 (RM13.87 juta) dan tahun 2021 (RM14.56 juta).

Pada tahun 2022 pula, hasil yang sepatutnya dikutip meningkat kepada RM15.27 juta dan tahun 2023 sebanyak RM16.38 juta.