KUALA LUMPUR - Polis mengesahkan telah menerima laporan berkaitan video tular memaparkan insiden kemalangan dua buah kenderaan berhampiran Plaza Tol Sungai Besi, di sini pada Sabtu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya telah menerima laporan berkaitan kemalangan itu daripada dua pemandu kenderaan tersebut.
"Kita telah menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 31 tahun yang memandu kereta Honda Jazz dan pemandu Perodua Myvi berusia 32 tahun," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.
Mohd Azman berkata, siasatan pihak polis dijalankan bawah Kaedah 6(1) LN 166/59 iaitu kesalahan memotong secara berbahaya.
"Orang ramai dinasihatkan mematuhi peraturan jalan raya, berhemah dan berhati-hati semasa berada di atas jalan raya.
"Jangan mengambil tindakan sehingga mengancam keselamatan pengguna jalan raya yang lain," tegasnya.
Pada Ahad, media melaporkan satu keluarga berdepan detik mencemaskan selepas kereta dinaiki mereka dilanggar oleh kenderaan lain.
Insiden itu dikongsikan sendiri oleh mangsa menerusi beberapa video yang dimuat naik menerusi ciapan di akaun X miliknya.
Berdasarkan klip tersebut, kejadian yang berlaku kira-kira jam 9.25 malam itu disyaki berpunca selepas tindakan pemandu Perodua Myvi mengikuti rapat kereta mangsa untuk lari daripada membayar tol.
Bagaimanapun, selepas berjaya melepasi plaza tol berkenaan, Perodua Myvi dilihat memotong dari arah kanan sebelum melanggar dan bergesel dengan kereta mangsa.