SMK Shah Alam juara Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023

Iklan
SMK Shah Alam muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) 2023.

SEKOLAH Menengah Kebangsaan (SMK) Shah Alam muncul juara Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 15 tahun (B-15) 2023 selepas menewaskan SMK Meru, 3-0 dalam perlawanan akhir di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya pada Isnin.

Anak buah Mohd Akid Aiman Mohd Zanggi tampil dengan status pilihan bermula garang apabila memimpin separuh masa pertama dengan dua gol yang dijelmakan Vincenzo Oliveo D'Dozzel Donny minit ketiga, diikuti Muhamad Danish Harith Muhd Zakri (m-11).

Iklan
Iklan

Separuh masa kedua anak buah Mat Hassan Mat Rofi yang ketinggalan dua gol tidak mengalah sebaliknya kembali memperkemaskan taktikal berusaha untuk kembali dalam permainan.

Namun ketumpulan penyudah menyaksikan beberapa peluang gagal diterjemahkan jentera depan pasukan dari Klang yang akhirnya dimanfaatkan Hafiz Hakim Noorfaezal dengan gol minit ke-48 bagi menoktahkan kemenangan bergaya juara Piala Sumbangsih itu.

Iklan

Sebagai rekod, SMK Shah Alam mara ke perlawanan akhir kejuaraan selepas menewaskan SMK Darul Ehsan 2-1 dalam perlawanan separuh akhir.

SMK Meru pula mara ke perlawanan akhir setelah menewaskan SMK Sultan Abdul Samad menerusi penentuan sepakan penalti 3-2 selepas terikat 1-1 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Iklan
Kesebelasan utama SMK Meru.

Sebagai rekod, kejuaraan edisi 2023 dibarakan dengan penajaan daripada Kumpulan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

Selaku juara SMK Shah Alam membawa pulang RM8,000 manakala SMK Meru naib juara menerima RM6,000 kejuaraan yang

melibatkan penyertaan 32 pasukan sekolah menengah mewakili 10 daerah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) seluruh Selangor.

Pemain, jurulatih, dan pengurusan pasukan SMK Darul Ehsan ketiga terbaik Piala Datuk Mokhtar Dahari B-15 2023.

Sementara itu, SMK Darul Ehsan muncul pasukan ketiga terbaik edisi 2023 selepas menewaskan SMK Sultan Abdul Samad, 2-0 dalam perlawanan di padang Turf Seksyen 19, Shah Alam.

Jaringan separuh masa kedua, Harith Haikal Qays Rahalhafizan (m-40) diikuti Muhammad Hishamudin Ismail (m-59) membolehkan skuad kendalian Norazam Jamaludin melengkapi kempen gemilang sekolah dari Batu Caves tersebut.

Pemain, jurulatih dan pengurusan SMK Sultan Abdul Samad menamatkan kempen di kedudukan empat terbaik.

Kemenangan itu menyaksikan SMK Darul Ehsan membawa pulang RM4,000 manakala SMK Sultan Abdul Samad dari Petaling Jaya kendalian Muhammad Firdaus Azhar meraih RM2,000 sebagai pasukan keempat terbaik kejuaraan edisi kali ini.