MERAK Jalanan nak ucap terima kasih kepada kerajaan kerana menyediakan RM100 dalam bentuk e-dompet kepada rakyat berumur 21 tahun dan ke atas dengan pendapatan kurang RM100,000.
Ia bagi menggalakkan penggunaan tanpa tunai (cashless). Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 bilion untuk dimanfaatkan sehingga 10 juta rakyat.
Tambahan nilai ini untuk sekali bayar saja, tidak boleh digunakan untuk pemindahan peer-to-peer atau penebusan tunai. Boleh guna untuk pembayaran di kedai yang ada QR Duitnow.
Penebusan bermula semalam sehingga 20 Februari membabitkan empat penyedia e-dompet terpilih iaitu MAE, Setel, Touch ‘n Go dan Shopeepay.
Merak Jalanan diberitahu aplikasi MAE dan Setel tergendala gara-gara ramai yang nak menebus. Bayangkan jika 10 juta penerima mendaftar hari yang sama.
Tapi, jangan panik. Tarikh akhir tebus ialah 20 Februari depan.
Merak Jalanan dapat bayangkan manfaat RM100 kepada rakyat. Mungkin kecil tetapi boleh beli barang keperluan. Maklumlah sekarang ini harga barang pun ‘mahal dah ni’.
Merak Jalanan nak ketawa juga bila ramai yang kata kena scam. Sebab mereka ingat eMadani itu boleh dapat secara automatik bila mendaftar. Rupanya kena tunggu seminggu. Jenuh juga. Terpaksa cari Nur Nilam Sari nak pinjam RM100!
Ada juga rakan Merak Jalanan yang mengeluh sebab tak layak. Apa la sangat RM100 tu kalau nak banding dengan gaji lebih RM10,000 sebulan. Celah gigi dia je. Bagi la peluang kepada B40.
Cuma Merak Jalanan nak pesan, soal kecil atau besar pemberian kerajaan itu, gunakanlah untuk perkara yang berfaedah dan bermakna.
Jangan pula terjerat dengan dengan penawaran çash out yang melambak di media sosial. Jangan cepat terpengaruh. Akhirnya diri sendiri yang rugi. Apa pun tak dapat!