UMNO perlu ada hala tuju baru, menangi hati pengundi

Iklan

KEPUTUSAN pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Kemaman yang diumumkan pada 2 Disember lalu menyaksikan kekalahan UMNO dalam memenangi hati pengundi di kawasan tersebut.

Calon daripada Barisan nasional (BN), Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor yang mempunyai rekod pencapaian terbaik akhirnya terpaksa akur apabila ditewaskan oleh calon Pas juga merangkap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Iklan
Iklan

Ini menunjukkan isyarat bahawa orang Melayu masih berpegang kuat dengan calon yang ‘bersih’ daripada sebarang pertuduhan mahkamah selain memperjuangkan agenda agama dan bangsa.

Perkara tersebut turut diakui oleh Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan apabila calon yang berwibawa sahaja tidak cukup untuk meraih kemenangan.

Iklan

Menurutnya, keputusan tersebut telah menyedarkan UMNO bahawa walaupun pernah memegang tampuk pemerintahan lebih enam dekad namun dengan situasi politik yang semakin dinamik parti itu perlu mempunyai ketahanan untuk terus berjuang.

Ujarnya, jika ingin terus menjuarai semula pengaruh dan kepercayaan masyarakat Melayu dalam politik mereka perlu menukar semangat, cara kerja, strategi dan kepimpinan untuk terus bersaing dengan parti lain.

Iklan

UMNO memerlukan pemimpin baharu yang mampu mengemudi parti itu dalam menghadapi politik baharu di Malaysia.

Jika langkah dan usaha tersebut tidak dilakukan dikhuatiri pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16), mereka akan kehilangan banyak kerusi atau lebih buruk berbanding PRU15 tempoh hari.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa, selagi UMNO terus bekerjasama dengan DAP sokongan terhadap parti itu akan terus merosot.

Beliau turut mendakwa UMNO akan terhapus sama sekali dalam Pilihan Raya Umum akan datang dan yang boleh menyelamatkan parti itu hanyalah pemisahan daripada DAP dengan kembalikan perjuangan untuk bangsa, negara dan agama.

Situasi politik masyarakat Melayu perlu mempunyai prinsip perjuangan yang telus dan bukan sekadar ingin menjadi kuasa dominan dalam mentadbir semata-mata tanpa memikirkan nasib rakyat.

Masyarakat pada hari ini lebih bijak menilai situasi politik negara malah terdapat sebahagian daripada mereka sudah tidak mempunyai keyakinan terhadap mana-mana pemimpin politik.

Pada pendapat penulis, jika UMNO masih mahu terus kekal relevan, perubahan daripada peringkat akar umbi perlu dilakukan bagi memastikan agenda parti yang ingin memperjuangkan agama dan bangsa dapat dicapai.