IPOH - Kerajaan negeri Perak sedang meneliti dan memantau tindakan pihak tertentu mengekstrak unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) secara haram.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pemantauan tersebut perlu dilakukan kerana dibimbangi ia tidak terkawal kerana proses untuk mengeluarkan NR-REE tidak sukar seperti melombong bijih timah yang memerlukan kapal korek dan sebagainya.
"Sejak akhir-akhir ini, ada usaha dan minat pihak tertentu untuk mengekstrak secara haram (NR-REE).
Kita sedang meneliti dan memantau kerana perlu berhati-hati supaya apa yang berlaku di sebuah negeri lain sebelum ini tidak berlaku di Perak.
"Kebimbangan kita nanti ia tidak terkawal. Kita sedang memantau apakah kaedah dan cara yang digunakan oleh mereka yang cuba untuk mengusaha haram ini," katanya ketika menjawab soalan tambahan dikemukakan Mohd Fakhrudin Abd Aziz sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Ipoh pada Selasa.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup), Saarani menjelaskan kadar royalti yang dikenakan kepada pihak penggerak projek rintis perlombongan di Mukim Kenering, Gerik adalah sebanyak 12 peratus daripada harga jualan NR-REE.
Menurutnya, dari segi pendapatan yang diperoleh melalui hasil royalti berkenaan, sehingga September 2023, pihak penggerak projek telah menjelaskan bayaran royalti sebanyak RM21.12 juta melalui pengeksportan Rare Earth Carbonate (REC) ke Negara China.
Jelasnya, kerajaan tempatan melalui Majlis Daerah Gerik juga turut mengutip hasil melalui fi-fi berkaitan dengan kelulusan Kebenaran Merancang (KM) yang dikeluarkan bagi aktiviti perlombongan NR-REE tersebut.
Projek Perintis NR-REE di Mukim Kenering, Gerik yang dilaksanakan di kawasan seluas 84.6 hektar itu telah memulakan operasi pada bulan Oktober 2022 setelah memperolehi kelulusan dari segi perundangan yang berkaitan daripada agensi-agensi teknikal dan kebenaran beroperasi daripada pihak berkuasa negeri.