BEKAS pemain Manchester United, Paul Scholes menegaskan terdapat ramai pemain yang 'pemalas' di Manchester United selepas mereka tewas 0-1 di tangan Newcastle pada Ahad.
Skuad bimbingan Erik ten Hag mengalami kekalahan keenam Liga Perdana Inggeris musim ini di St James' Park, tumbang menerusi jaringan separuh masa kedua Anthony Gordon apabila dia menyudahkan hantaran lintang Kieran Trippier.
United sebahagian besarnya tidak berfungsi dalam perlawanan itu sehinggalah Rasmus Hojlund dan Antony dimasukkan bagi menggantikan Anthony Martial dan Marcus Rashford.
Bagaimanapun, mereka tidak dapat mencari gol penyamaan dan Newcastle meraih tiga mata dalam perlawanan itu.
"Sampah. Mereka adalah pasukan bola sepak yang lemah pada saat ini. Keputusan yang mereka peroleh baru-baru ini mengelirukan.
"Terlalu ramai pemain yang malas dalam pasukan itu. Perkara pertama yang anda harus lakukan ialah bekerja keras," katanya.
Keputusan itu meneruskan rentak kekalahan United menentang semua pasukan teratas dalam Liga Perdana setakat musim ini.
Pasukan kendalian ten Hag itu hanya meraih satu mata dalam perlawanan menentang pasukan lapan teratas musim lalu dan kini telah tewas di Tottenham, Arsenal dan Newcastle setakat kempen musim ini.
Mereka kembali ke Old Trafford untuk perlawanan menentang Chelsea dan Bournemouth minggu depan sebelum bertandang ke Anfield untuk menentang Liverpool.