Loteng ‘penyelamat’ musim banjir

Iklan
Zaharah melihat keadaan persekitaran rumahnya yang banjir. Foto kanan: Zaharah menunjukkan loteng yang dibina lebih tinggi.

RANTAU PANJANG - Hampir kesemua rumah penduduk di pekan Rantau Panjang di sini mempunyai loteng yang dibina khas bagi ‘menyelamatkan’ mereka ketika banjir.

Binaan loteng berketinggian 1.5 meter (m) hingga lebih 2m dari aras lantai rumah itu seolah-olah menjadi satu keperluan dan pembinaannya melibatkan kos sekitar RM3,000 hingga RM10,000.

Iklan
Iklan

Saiz loteng kebiasaannya seluas sebuah bilik kecil atau 6.5 meter persegi (m²) namun terdapat juga loteng yang lebih besar dan lebar sehingga lebih 11m² bergantung atas kemampuan untuk membinanya selain menimbang keperluan bagi memuatkan sesebuah keluarga.

Warga emas, Zaharah Rasol, 80, berkata, akan segera berpindah ke loteng rumah bersama anak lelakinya, Rozi Isa, 43, jika air memenuhi bilik dan ruang tamu.

Iklan

Menurutnya, kedudukan rumahnya hanya 300 meter dari sungai Golok dan ia akan melimpah setiap kali musim Monson Timur Laut (MTL) menyebabkan banjir di lokasi itu antara dua hingga tiga kali setahun.

"Air biasanya tak sempat masuk dalam rumah. Cuma pada 2014, banjir sedalam 0.5 meter masuk ke ruang tamu tetapi dapur masih boleh digunakan kerana lebih tinggi.

Iklan

"Rumah ini setinggi 0.5 meter dari aras tanah manakala loteng yang dibina 10 tahun lalu ini sangat tinggi kerana akan digunakan semasa banjir selain dapat muatkan hingga enam orang pada satu-satu masa,” katanya ketika ditemui di pekan Rantau Panjang, di sini, pada Selasa.

Azizah menaiki perahu dan dibantu anaknya keluar dari rumah.

Sementara itu, ibu tunggal, Azizah Abdul Rahman, 53, berkata, loteng di rumahnya digunakan sebagai tempat berlindung bersama 13 anak yang berusia 10 hingga 27 tahun sewaktu banjir musim tengkujuh.

Ujarnya, loteng itu turut dilengkapi dengan dapur dan sinki bagi memudahkan hidangan dimasak serta dimakan sewaktu terperangkap dalam banjir.

"Memang sengaja buat loteng untuk anak-anak.

"Sama ada banjir biasa atau banjir lebih besar, kami akan duduk di atas loteng itu,” katanya.