SEREMBAN - Kerajaan negeri memperuntukkan RM324,000 bagi menangani masalah anjing liar termasuk menangkap 2,177 ekor anjing liar sepanjang tahun ini.
Exco Pembangunan Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, J Arul Kumar (PH-Nilai) bagaimanapun berkata, tiada tangkapan dibuat pada bulan Mac hingga Mei kerana pihak Majlis Bandaraya Seremban(MBS) dalam proses melantik kontraktor.
"Khusus bagi kawasan Senawang, sebanyak (26 ekor) anjing telah ditangkap, Taman Sena Parc (32 ekor), Senawang Perdana (11 ekor), Pinggiran Senawang (44 ekor) dan Taman Satria (18 ekor),"katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, DUN Negeri Sembilan Yang Ke-15 di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Kamarol Ridzuan (PN-Paroi) berkenaan jumlah peruntukan menangkap dan menangani bilangan anjing liar.
Jelas Arul Kumar, MBS juga telah mengambil beberapa inisiatif untuk menyelesaikan isu anjing liar berkenaan dengan melancarkan Program Insentif Pemandulan Anjing yang bermula September lalu hingga tahun ini.
Ujarnya, setiap pemilik anjing yang berlesen di MBS akan menerima insentif RM100 bagi setiap ekor dengan maksimum dua ekor setiap rumah untuk dimandulkan.
"Dalam jangka masa panjang, memang ini salah satu isu yang perlu diambil tindakan dan tangkapan dilakukan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan(NGO) di kawasan Seremban serta di beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.
"Majlis mesyuarat kerajaan negeri juga telah memutuskan cara untuk mengawal bilangan anjing liar ini melalui pemandulan yang mana setiap anjing liar ditangkap oleh NGO juga perlu dimandulkan," ujarnya.
Beliau turut mengakui yang tindakan mengawal masalah anjing liar mengambil masa, namun kerajaan negeri berusaha menyelesaikan masalah itu dengan cara lebih baik.
Selain itu, berkenaan kes lembu liar pula, sebanyak 23 kompaun dikeluarkan terhadap pemilik sejak tahun 2020 hingga tahun ini.
Bagaimanapun katanya, tiada tangkapan dibuat sejak tahun lalu, namun tindakan itu akan dilakukan bagi memastikan kes lembu liar berkeliaran terutama di kawasan-kawasan perumahan dapat dikawal.
"Pada tahun 2020 sebanyak (7) kompaun dikeluarkan, 2021(5 kompaun), 2022(9 kompaun) dan 2023 (2 kompaun),"katanya.