KUALA TERENGGANU – Seekor ikan laga yang menjadi juara (Grand Champion) dengan mengalahkan 2,305 ikan lain dalam pertandingan kecantikan ikan laga hiasan, Terengganu Betta Monsoon Cup Vol 3 dijual pada harga RM7,000.
Selain menjadi juara keseluruhan, ikan ‘betta fish’ atau nama saintifiknya betta splendens hasil pertaruhan Grup Betta Koboi dari Perlis yang berusia empat bulan itu turut memenangi tiga lagi kategori iaitu Best of Multicolour, Division Champion dan Halfmoon Plakad (B28-AOC/Special).
Selain mengalahkan ikan yang dipertandingkan dari Malaysia, ikan kacuk daripada spesies avatar betta dan koi galaxy betta itu turut mengalahkan ikan laga daripada negara jiran iaitu Thailand, Singapura dan Indonesia.
Pemiliknya, Shahrul Hafifi Sobri, 30, dari Arau, Perlis berkata, dia amat bersyukur dan tidak menjangka ikan diternaknya itu menjadi juara dalam pertandingan terbesar itu.
Katanya, kemenangan itu berbaloi dengan usaha keras sejak berkecimpung dalam ternakan ikan laga pertengahan tahun ini.
"Saya sebenarnya tak sangka ikan ini menjadi juara dan menjadi pilihan juri mengalahkan 2,305 ikan lain yang bertanding sebab saya tak pernah letak sasaran pun untuk bergelar juara keseluruhan dalam pertandingan ini.
"Lagipun saya baru sahaja berjinak-jinak dalam ternakan ikan laga sejak Jun lalu,” katanya ketika ditemui di lokasi pertandingan di Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Shahrul Hafifi yang merupakan seorang pelukis pelan di sebuah syarikat swasta berkata, setakat ini dia telah menyertai sebanyak sembilan pertandingan ikan laga sejak Julai lalu dan pertandingan kali ini disifatkan sebagai yang terbesar pernah disertai.
"Pertandingan di Terengganu kali ini menjadi rekod baharu dan terbesar yang saya pernah pegang kerana melibatkan sejumlah ikan yang begitu banyak dipertandingkan hingga memecahkan rekod dunia,” katanya yang mula meminati ikan laga sejak di bangku sekolah.
Shahrul Hafifi berkata, dia kini memiliki lokasi penternakan ikan laga di kediamannya di Padang Sera Kodiang, Kedah bermula dengan membeli ikan laga pada harga RM2,000.
"Kini ikan-ikan peliharaan saya telah mencecah 300 hingga 400 ekor dan boleh dijual dalam tempoh dua bulan lagi pada harga RM50 hingga RM200 seekor bergantung pada kualiti,” katanya yang membawa pulang wang tunai RM1,888 dan empat trofi kemenangan.
Sementara itu penganjur program, Mohd Fajiha Alaihis Mustafa, 29, berkata, pertandingan itu diadakan untuk menguji dan menilai kecantikan bagi setiap seekor ikan yang bertanding.
"Kita bukan laga ikan tetapi menilai kecantikan dari segi fizikal ikan-ikan yang bertanding. Biasanya ikan-ikan yang menang adalah ikan-ikan yang kurang kesalahan berdasarkan kriteria yang telah digariskan oleh para juri,” katanya.
Dalam pada itu katanya, Terengganu Betta Monsoon Cup Vol 3 yang diadakan dengan kerjasama Muzium Negeri, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Perikanan Terengganu mencipta rekod baharu dengan menyaksikan jumlah penyertaan sehingga 2,306 ikan dengan sebanyak 131 kategori untuk dinilai oleh 12 orang juri.
"Dalam banyak pertandingan yang dianjurkan, pertandingan ini mendapat paling banyak penyertaan dan sambutan yang begitu menggalakkan.
"Kita harap selepas ini pertandingan seumpama ini dapat diadakan lagi bagi mengumpul lebih ramai peminat-peminat baharu dalam industri ikan laga sama ada dalam atau luar negara,” katanya.