IPOH - Kerajaan Perak memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak terlibat dengan sebarang aktiviti mengeluarkan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE) tanpa kebenaran bagi mengelak dikenakan tindakan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ketika ini pihaknya mengesan terdapat kecenderungan pihak tertentu untuk mencuri mineral berkenaan menggunakan kaedah sendiri sedangkan ia merupakan satu kesalahan.
Menurutnya, susulan itu beberapa laporan polis telah dibuat terhadap tindakan tersebut bagi membolehkan tindakan undang-undang diambil.
"Setiap kali kita dapat maklumat (mengenai kecurian NR-REE), kita lapor polis. Mineral yang ditemui merupakan hasil negeri. Jadi walaupun bawah rumah saya, saya tak boleh senang-senang ambil," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Makanan Percuma di bawah Inisiatif Tuisyen Cikgu Saarani di Pejabat Menteri Besar Perak pada Selasa.
Saarani berkata, NR-REE yang dicuri tidak boleh sewenang-wenangnya dijual kerana Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubatan Iklim telah membuat keputusan bahawa ia perlu diproses di dalam negara.
Menurutnya, disebabkan itu tiada pihak yang akan membeli mineral mentah itu untuk diproses di luar negara melainkan terdapat usaha mengeksport dengan cara memalsukan isytihar barang berkenaan.
Jelasnya, kerajaan negeri menyerahkan sepenuhnya siasatan kepada pihak polis berhubung kecurian mineral berkenaan.
Sebelum itu, Saarani ketika Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak memaklumkan kerajaan negeri sedang meneliti dan memantau tindakan pihak tertentu mengekstrak unsur NR-REE secara haram.
Menurutnya, ia dilakukan kerana dibimbangi aktiviti tersebut tidak terkawal kerana proses untuk mengeluarkan NR-REE tidak sukar seperti melombong bijih timah yang memerlukan kapal korek dan sebagainya.