MANJUNG - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Manjung sedang mengesan ibu kandung kepada seorang bayi lelaki yang ditemukan dalam beg di tepi longkang belakang rumah kedai di Ayer Tawar, dekat sini pada 25 November lepas.
Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Manjung, Nor Amelia Ali berkata, pihaknya turut memohon kerjasama orang ramai membantu mengesan waris bayi terbabit, yang ditinggalkan tanpa sebarang dokumen pengenalan diri.
Beliau berkata, bantuan orang ramai bagi mengesan ibu dan waris bayi berusia 10 hari itu sangat penting dalam usaha JKM menjalankan siasatan bagi tujuan penempatan dan kebajikan.
"Bayi itu yang diselamatkan sepertimana peruntukan Seksyen 17(1)(e)(ii) Akta Kanak-kanak 2001, kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Neonatal (NICU) Hospital Seri Manjung dan berada dalam keadaan sihat.
"Polis telah melakukan pencarian suspek di semua klinik kesihatan sekitar Ayer Tawar, namun setakat ini tiada sebarang maklumat diperoleh dan kita minta kerjasama mana-mana pihak yang mengenali ibu bayi atau waris yang berkaitan supaya menghubungi JKM Manjung menerusi talian 05-6883110 dengan segera,” katanya pada sidang media di sini pada Selasa.
Nur Amelia berkata, hasil pemeriksaan pihaknya juga mendapati bayi terbabit berkemungkinan berasal daripada keluarga warga tempatan.
"Jadi buat masa ini kita minta ibu atau warisnya tampil bagi tujuan penempatan dan kebiasaannya kita akan beri tempoh tiga bulan dalam jagaan JKM.
"Sekiranya tidak ada waris, JKM akan mendapatkan perintah mahkamah untuk menempatkan bayi itu di institut JKM atau diserahkan kepada keluarga pelihara yang layak dan sesuai," katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang bayi yang masih bertali pusat dan uri dijumpai seorang lelaki berusia 45 tahun dalam keadaan berbalut tuala kira-kira 8.15 malam, 25 November lepas.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Mohamed Nordin Abdullah berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan iaitu ibu bapa yang bertanggungjawab menjaga kanak-kanak di bawah usia 12 tahun, mendedahkan serta membuang kanak-kanak itu dengan niat. - Bernama