[VIDEO] Tonto mengaku terima suapan didenda RM56,000

Iklan

MELAKA - Seorang tonto didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen, di sini pada Selasa, selepas mengaku bersalah menerima suapan daripada lapan syarikat lori.

Tertuduh Norsham Ahmad, 51, membuat pengakuan terbabit ketika 20 pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Elesabet Paya Wan.

Iklan
Iklan

Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh telah menerima suapan wang berjumlah keseluruhan RM34,855 melalui transaksi dalam talian daripada lapan syarikat kenderaan berat itu sejak 2017.

Norsham (tengah) ketika dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen, pada Selasa.

Ia sebagai suatu galakan bagi mendorong dengan cara menjalankan pengaruh peribadi ke atas seorang penjawat awam iaitu pegawai JPJ Melaka untuk tidak mengambil tindakan terhadap lori-lori yang melakukan kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan

Kesemua kesalahan tersebut dilakukan di sekitar negeri ini sejak Januari 2017 sehingga Mac 2021.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 163 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen dan kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda atau dengan kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Iklan
Norsham (tengah) didenda RM56,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Selasa.

Mengikut fakta kes, tertuduh bersama-sama dua pegawai JPJ Melaka telah menubuhkan sindiket yang dinamakan sebagai ‘Saudagar’ bagi melindungi lori-lori yang membawa lebihan muatan agar tidak dikenakan tindakan undang-undang.

Sindiket ini pada awalnya menggunakan logo Pepsi supaya penguat kuasa terlibat dapat mengenal pasti lori-lori yang telah membuat bayaran wang perlindungan.

Tertuduh yang diwakili Peguam Hafizatul Shahirah Jamari merayu hukuman berbentuk denda rendah kerana anak guamnya hanya membantu isteri berniaga secara kecil-kecilan di warung dengan pendapatan sekitar RM100 sehingga RM200 sehari.

Selain itu, tertuduh menghidap kencing manis dan perlu menanggung bapa mentuanya berusia 76 tahun yang menghidap beberapa penyakit kronik.

Malah, tertuduh didakwa terjebak dalam sindiket itu selepas termakan pujukan rakan yang merupakan pegawai JPJ untuk memainkan peranan sebagai orang tengah.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Asraf Mohamed Tahir memohon tertuduh dikenakan hukuman setimpal sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat selain faktor nilai suapan yang diterima tertuduh.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda keseluruhan sebanyak RM56,000 atau penjara antara satu sehingga enam bulan, jika gagal membayar.