SUNGAI PETANI - Petronas dengan kerjasama Jabatan Perdana Menteri, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Pejabat Daerah Kuala Muda, menganjurkan bengkel pengurusan bencana selama dua hari untuk meningkatkan kesediaan kecemasan dan krisis kolektif.
Menurut kenyataan dikeluarkan Petronas, bengkel terbabit dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan Keselamatan MKN, Hamzah Ishak dan disertai oleh lebih 120 wakil pihak berkuasa dan agensi tempatan.
"Antaranya Majlis Keselamatan Negara Kedah, Pertahanan Awam Malaysia Negeri Kedah, Jabatan Kesihatan, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia," kata kenyataan itu.
Menurutnya, bertemakan 'Bersatu Ke Arah Matlamat Bersama', sesi itu menampilkan penceramah daripada pihak berkuasa, agensi dan Petronas sendiri.
"Kesemua penceramah berkongsi dan bertukar pandangan berharga serta amalan terbaik mengenai tindakan kritikal yang perlu diambil semasa bencana," katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, Petronas dan NADMA turut melaksanakan Latihan Tindak Balas Kecemasan oleh tindak balas kecemasan dan simulasi pengurusan bencana berdasarkan pelepasan bahan kimia dan toksik.
"Selain itu, senario letupan kebakaran Petronas Gurun turut diadakan yang mempertingkatkan lagi pemahaman tentang peranan dan tanggungjawab semua agensi yang terlibat," katanya.
Katanya, Petronas akan terus menganjurkan bengkel serupa di negeri dan daerah lain di seluruh Malaysia dalam usaha untuk meningkatkan keselamatan rakyat, aset dan alam sekitar.