KLANG - Polis tidak menolak kemungkinan mayat seorang wanita yang ditemui ditanam dalam simen di bilik air sebuah rumah sewa dekat sini, pada Ahad lepas disyaki dibunuh lebih setahun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.
"Ya betul (kemungkinan dibunuh lebih setahun), dua suspek lelaki yang sedang diburu disyaki menyimen kolah mandi di rumah terbabit.
"Dua suspek yang diburu ini menyewa rumah berkenaan dari 2019 sehingga 2021, kita masih mengenal pasti motif pembunuhan," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Pada Isnin, Hussien dilaporkan berkata, polis sedang mengesan dua lelaki warga asing dikenali sebagai Ranjit Singh dan Manjeet Singh untuk membantu siasatan kes itu.
Penemuan itu berikutan laporan polis dibuat oleh pemilik rumah pada Ahad, sebelum polis meminta bantuan pihak bomba memecahkan simen dan mengeluarkan mayat mangsa.
Dalam pada itu katanya, identiti wanita berkenaan masih dalam siasatan memandangkan proses bedah siasat akan dijalankan di Hospital Shah Alam.
"Tunggu keputusan bedah siasat," katanya.
Polis sudah merakamkan keterangan tiga individu termasuk pemilik rumah sewa di Kampung Pendamar.
Seorang suspek lelaki warga asing berusia 53 tahun telah ditahan dan direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.