TUMPAT - Seorang bekas operator kilang tidak menyangka sakit kepala yang dialami sejak setahun kebelakangan ini rupanya-rupanya sel kanser yang kian membesar di dalam otaknya.
Azman Muda, 40, dari Kampung Jubakar Pantai Tumpat disahkan menghidap kanser otak pada Ogos lalu dan sedang menjalani rawatan walaupun belum dapat dipastikan tahap kanser itu.
Isterinya, Salmi Arshad, 40, berkata, sebelum itu hampir setahun Azman sering mengadu sakit kepala dan mendapatkan rawatan di beberapa klinik namun hanya dianggap sakit biasa dan diberikan ubat penahan sakit.
Menurutnya, namun sebelum sambutan Hari Raya Aidiladha yang lalu, Azman yang tersedar pada waktu pagi untuk keluar bekerja tidak dapat bangun dari katil.
"Ketika itu kami tinggal di Johor dan Azman bekerja di sebuah kilang besi di sama. Pada pagi itu dia tidak dapat bangun dengan sebelah badannya seperti lumpuh.
"Selepas dibawa ke Hospital Sultan Ismail Johor, doktor mengesahkan ada ketumbuhan seperti barah di kiri dalam otak dan pemeriksaan X-ray juga menemui jangkitan kuman dalam paru-paru,” katanya ketika dikunjungi Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK) di rumahnya di sini semalam.
Salmi berkata, berikutan kekangan yang dihadapi kerana jauh daripada keluarga, mereka meminta Azman dipindahkan ke Kelantan dan menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia.
"Azman sudah lima kali menjalani kimoterapi untuk mengecutkan sel kanser hingga menyebabkan rambutnya gugur dan mata pula mula rabun. Pada sebelah malam dia tidak dapat tidur kerana sakit.
"Sejak disahkan sakit dia sudah tidak dapat bekerja dan kami hilang punca pendapatan kerana saya hanya suri rumah sepenuh masa dan menjaga dua anak yang masih kecil berusia dua tahun dan enam bulan,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi KKCK, Pui Tiong Lam berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib dihadapi keluarga Mohd Noor dan akan membantu mereka memohon bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat.