Isu tekanan air rendah di Lenggeng dijangka selesai tahun depan

Iklan
Aminuddin

SEREMBAN - Masalah tekanan air rendah di keseluruhan kawasan Lenggeng akan dapat diatasi sebaik saja projek pembinaan Loji Rawatan Air Ngoi-Ngoi Fasa 2 siap, dijangka tahun hadapan.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Sikamat) berkata, terdapat pelbagai faktor menyebabkan masalah itu berlaku dan ia sedang diatasi.

Iklan
Iklan

"Buat masa ini juga satu sebutharga telah dikeluarkan bagi kerja-kerja penggantian paip bersaiz 150mm sepanjang tiga kilometer di Kampung Daching," katanya pada Persidangan Ketiga (Belanjawan) Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Negeri Sembilan Yang Ke-15 pada Selasa.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Mohd Asna Amin(BN-Lenggeng) berkenaan masalah tekanan air rendah di beberapa kawasan kampung di DUN Lenggeng.

Iklan

Menurutnya, masalah tekanan air di Mukim Pantai pula adalah disebabkan Loji Pantai yang tidak dapat beroperasi secara penuh akibat banjir besar pada 2021.

Ujarnya, buat sementara waktu, bekalan air di kawasan itu dibantu daripada sumber Loji Ngoi-Ngoi manakala kerja-kerja baik pulih muka sauk Loji Pantai sedang giat dilaksanakan bagi memastikan loji dapat beroperasi secara penuh.

Iklan

"Tambahan lagi pembinaan Kolam Imbangan Pantai juga telah dirancang bagi menampung keperluan kawasan Mukim Pantai,"katanya.

Selain itu katanya, masalah tekanan air rendah di Kampung Rawa dan Kampung Tengah pula adalah disebabkan kedudukan rumah yang jauh dan tinggi daripada sistem paip retikulasi Sains.

Jelasnya, bagi masalah di Kampung Rawa pengaktifan projek bekalan luar bandar telah pun dibuat pada bulan Mei 2023.

"Bagi masalah di Kampung Tengah pula, permohonan melalui Program Bekalan Air Luar Bandar akan dibuat melalui Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.

"Masalah bekalan di Kampung Sompo pula adalah disebabkan kes paip pecah dan bocor dan kawalan tekanan air akan dibuat bagi meminimumkan masalah berlaku," katanya.