KUALA LUMPUR - Malaysia Airlines mengumumkan penerbangan yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur ke Chennai, India telah dibatalkan kerana Lapangan Terbang Chennai (MAA) ditutup akibat banjir.
Syarikat penerbangan kebangsaan itu berkata, penerbangan MH182 yang dijadualkan berlepas dari Kuala Lumpur pada 9.10 pagi hari ini ke MAA telah dibatalkan.
"Penerbangan balik (melalui) pesawat MH183 juga akan dibatalkan,” katanya.
Lapangan terbang di Chennai telah ditutup sejak 9.17 pagi semalam disebabkan cuaca buruk.
"Penumpang yang menempah penerbangan ini boleh memilih untuk menangguhkan perjalanan sehingga 19 Disember 2023, atau boleh memohon penempahan semula untuk penerbangan ke Bangalore dan Hyderabad (tertakluk kepada ketersediaan) atau memilih bayaran balik,” kata syarikat penerbangan berkenaan.
Untuk bantuan segera, penumpang diminta menghubungi Pusat Hubungan Global Malaysia Airlines di talian 1 300 88 3000 (dalam Malaysia) atau +603 7843 3000 (di luar Malaysia).
Menurut laporan berita, Chennai dilanda hujan dan banjir ketika Taufan Michaung menghampiri bandar itu. - Bernama