AGC arah polis lengkapkan lagi kertas siasatan kes Agus-Wahab

Iklan
Razarudin

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menerima beberapa arahan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk melengkapkan siasatan kes klip video perbualan lucah yang dikaitkan dengan bekas Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Dr Mohammad Agus Yusof sebelum keputusan dibuat berhubung kes tersebut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan itu sudah dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara pada Jumaat lalu.

Iklan
Iklan

"Beberapa tindakan perlu diambil sebelum kertas siasatan berkenaan dirujuk semula setelah tindakan diambil oleh PDRM.

"Tindakan itu termasuk laporan-laporan teknikal dari agensi lain termasuk Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan syarikat telekomunikasi,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Iklan

Dalam pada itu, mengulas berkaitan dakwaan gangguan seksual membabitkan Mohammad Agus, beliau berkata, siasatan adalah sama iaitu untuk mencari kebenaran dan keadilan bagi kedua-dua pihak.

"Terdapat kertas siasatan lain dibuka berhubung situasi di Bintulu, Sarawak yang dibuka mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan 377D Kanun Keseksaan

Iklan

"Justeru, PDRM akan memanggil siapa saja yang boleh membantu siasatan," katanya.

Beliau berkata, keputusan sama ada tangkapan akan dibuat terhadap Mohammad Agus atau sebaliknya, bergantung kepada siasatan.

"Pada peringkat ini, kita masih lagi menjalankan siasatan untuk mendapatkan bukti-bukti yang material kepada keterangan dan dakwaan yang dibuat," katanya.

Sebelum ini, Mohammad Agus dan penolong pegawai J-KOM, Abdul Wahab Abdul Kadir Jilani dalam satu sidang media khas pada 17 Oktober lalu mendakwa video perbualan mereka yang tular di media sosial sebenarnya sudah disunting.

Abdul Wahab, 33, mendakwa telah diarahkan oleh individu bernama 'Mr H' untuk merekod video perbualannya bersama bekas Ketua Pengarah J-KOM itu.

Mohammad Agus, kemudian berkata. identiti ‘Mr H’ telah didedah kepada pihak polis ketika memberi keterangan kepada pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kajang.