MELAKA - Kira-kira 2,000 penduduk di Taman Semabok Perdana dekat sini melahirkan kebimbangan dengan kehadiran lebih 10 ekor anjing liar di kawasan riadah Kolam Takungan Banjir Semabok.
Penduduk mendakwa haiwan liar itu pernah mendatangkan kecederaan kepada orang awam yang melalui kawasan terbabit.
Pembantu rumah, Norzila Abdullah, 50, berkata, setiap kali berjalan kaki di kawasan riadah itu dia akan membawa ranting kayu bertujuan menakutkan haiwan liar itu jika diserang.
Menurutnya, kebiasaan anjing liar itu bergerak secara berkumpulan di kawasan ini pada waktu pagi juga di padang permainan berdekatan.
"Risau pun ada, sebab itu saya terpaksa bawa ranting kayu ketika berjalan dan lebih berhati-hati," katanya.
Bagi suri rumah, Rabiah Samah, 60, pula berkata, kolam takungan yang sedang dinaik taraf itu menjadi lokasi pilihannya beriadah setiap hari.
Namun menurutnya, aktiviti itu terganggu selepas kehadiran anjing-anjing liar berkeliaran di kawasan itu dan mengancam penduduk.
"Janganlah sampai berlaku sesuatu baharulah tindakan diambil, sebab kawasan ini sering didatangi pengunjung pelbagai peringkat umur.
"Risau kerana kanak-kanak juga sering bermain di kawasan ini dan kita harap bintang liar ini dapat ditangkap," katanya ketika ditemui pada Selasa.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem yang membuat tinjauan di kawasan riadah itu berkata, isu itu telah dipanjangkan kepada pihak berkaitan untuk diatasi, namun mendapat tentangan daripada badan bukan kerajaan (NGO) terutama persatuan pencinta haiwan.
Menurutnya, NGO yang memperjuangkan nasib haiwan ini perlu berganding bahu bersama kerajaan negeri bagi mencari mekanisme terbaik dalam menangani masalah yang boleh mengancam keselamatan penduduk.
Katanya, dia memahami perasaan persatuan yang simpati apabila binatang-binatang tidak bertuan itu ditangkap ataupun dilupuskan, namun mereka tidak seharusnya menyalahkan pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mengambil tindakan.
"Kita tidak boleh menyalahkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) semata-mata, sebab aduan ini datangnya apabila berlaku kes anjing kejar atau gigit orang hingga mendatangkan bahaya.
"Jadi persatuan berkaitan perlu tampil dan keluar bersama- sama untuk mencari penyelesaian dan bukan hanya bersuara di media sosial selain menyalahkan mana-mana pihak," ujarnya.