IPOH - Orang ramai yang menerima kredit e-tunai eMADANI dilaksanakan kerajaan Persekutuan berharap pemberian itu diteruskan setiap tahun, terutamanya menjelang musim perayaan selain jumlahnya ditambah pada masa akan datang.
Seorang suri rumah Siti Norain Usop, 33, berkata, beliau berharap pemberian e-tunai itu diteruskan pada masa akan datang dan turut mencadangkan supaya kerajaan menambah baik pelaksanaan pemberian bantuan ini kepada golongan warga emas, yang kebanyakannya tidak mahir dalam urusan menebus kredit e-tunai.
Ibu kepada dua cahaya mata itu berkata beliau memohon bantuan itu pada jam 8 pagi semalam dan wang tersebut dikreditkan ke dalam akaun Touch n Go (TNG) miliknya, kira-kira empat jam kemudian.
"Alhamdulillah saya layak menerimanya, saya boleh gunakan sebagai tambahan kewangan pada bulan ini, dengan membeli barangan keperluan dapur dan lampin pakai buang anak saya.
"Pemberian e-tunai ini secara tidak langsung dapat membantu mengurangkan perbelanjaan suami saya yang bekerja sendiri,” katanya yang tinggal di Felcra Changkat Lada, Kampung Gajah dekat sini.
Seorang lagi penerima, Anis Nadhirah Mohd Nasir, 39, berharap kerajaan dapat meneruskan pemberian e-tunai itu, terutamanya semasa musim perayaan bagi membolehkan rakyat berbelanja.
"Saya berharap kerajaan dapat menambah jumlah pemberian e-tunai ini, bagi menangani bebanan kos sara hidup yang semakin menekan ketika ini,” katanya yang merupakan pekerja di sebuah syarikat penerbangan.
Nurshafizah Suhairi, 28, dari Gunung Semanggol di daerah Kerian turut berharap pemberian e-tunai tidak dilakukan pada kali ini sahaja, memandangkan ketika ini sudah ramai membuat pembelian barangan secara pembayaran tanpa tunai, yang sangat memudahkan urusan harian.
"Pengguna bebas untuk membeli tidak kira secara atas talian atau sebaliknya, kerana bagi penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar, aplikasi pembayaran di kedai fizikal hanya terhad untuk beberapa kaedah sahaja, dan hal ini tidak memaksimumkan penggunaan wang berkenaan,” katanya yang bekerja sebagai pembantu kedai.
Bagi Rosdalilah Zahari, 41, beliau tidak menyangka sama sekali proses pengkreditan e-tunai itu, tidak mengambil masa lama untuk menerimanya.
"Saya memohon menerusi aplikasi Touch n Go pada pukul 8 pagi dan saya menerimanya kira-kira 12 tengah hari semalam.
"Saya mahu menggunakan wang tersebut untuk membeli barangan keperluan dapur. Terima kasih kepada kerajaan MADANI dan berharap pemberian sebegini diteruskan pada masa akan datang, dengan jumlahnya dapat ditambah,” katanya yang merupakan seorang pekerja swasta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tuntutan kredit eMADANI, iaitu tawaran e-kredit tunai RM100 secara sekali bayar, dapat memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak melibatkan peruntukan RM1 bilion.
Bantuan bagi rakyat berpendapatan tahunan RM100,000 ke bawah yang melibatkan golongan dewasa berusia 21 tahun ke atas dalam kalangan B40 serta M40, diumum Anwar semasa melancarkan kerangka Ekonomi MADANI: Memperkasa Rakyat, 27 Julai lepas. - Bernama