SEREMBAN - Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) membangunkan aplikasi E-Terapi Sakinah sebagai alternatif kaunseling peringkat awal bagi menyelesaikan masalah berkenaan isu rumah tangga dan kekeluargaan.
Pengerusi Jawatankuasa Penyelidikan MAINS, Prof Dr Zulkifli Hasan berkata, aplikasi itu yang dibangunkan hasil kerjasama dan penyelidikan dari universiti awam dan swasta itu boleh dimuat naik di telefon pintar.
"E-Terapi ini merupakan salah satu pendekatan awal untuk tangani konflik rumah tangga atau isu perkahwinan dan kekeluargaan sebelum pergi menemui kaunselor.
"Melalui aplikasi ini, mereka yang menghadapi masalah rumah tangga, tekanan mental dan sebagainya boleh merujuk panduan yang disediakan," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Simposium Penyelidikan MAINS 2023 di sebuah hotel, di sini pada Selasa.
Majlis berkenaan dirasmikan Mufti Negeri Sembilan, Prof Madya Dr Faudzinaim Badaruddin.
Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Datuk Dr Muhammad Tauffik Mohd Noor.
Tambah Zulkifli, modul dan panduan yang disertakan di dalam aplikasi berkenaan telah disahkan dan dibuktikan oleh penyelidik serta digunakan para kaunselor untuk menangani isu rumah tangga.
Ujarnya, sekiranya masalah dihadapi tidak dapat diselesaikan, pengguna boleh mengisi maklumat pada borang di dalamnya untuk membuat temu janji dengan kaunselor.
"Ia juga memudahkan pegawai kami untuk menggunakannya di mahkamah atau masjid kerana ia menyediakan garis panduan yang boleh dirujuk pihak yang bertanggungjawab.
"Aplikasi ini sudah dilancarkan pada 13 Oktober lalu namun dilancarkan secara rasmi hari ini(Selasa). Ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa seperti menambah video pendek dan dokumentari," katanya.
Sementara itu, Faudzinaim berkata, bagi tahun 2023 MAINS menawarkan 23 Geran Penyelidikan MAINS yang membabitkan penyelidik luar dari institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta melalui kaedah Request For Proposal (RFP).
"MAINS turut menjalankan lima kajian secara dalaman yang membabitkan kajian berkaitan perkhidmatan wakaf emas, kajian Nisab Zakat Harta, kajian harga zakat fitrah berdasarkan pasaran harga beras di Negeri Sembilan, kajian Penubuhan Tabung Khas Pendidikan dan Kajian Pelaksanaan Agihan fidyah dan kaffarah.
"Sempena simposium ini, turut dilancarkan Aplikasi E-Terapi Sakinah yang dibangunkan hasil daripada kajian penyelidik Geran Penyelidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Bahagian Kaunseling dan Pembangunan Insan MAINS," katanya.