Perundangan 2024 tumpu isu bankrap, bantuan guaman, scammer

Iklan
Azalina (kanan) ketika menghadiri Program Ruang Bicara sempena Setahun Bersama Kerajaan MADANI di Wisma Bernama malam Isnin. Foto: Bernama

KUALA LUMPUR - Membantu lebih ramai individu keluar daripada status muflis, memperkasa khidmat bantuan guaman dan menangani isu scammer antara tiga tumpuan utama Kerajaan Perpaduan dalam merealisasi reformasi institusi serta memperkasa undang-undang negara pada tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, tahun hadapan juga akan menjadi fasa implimentasi kepada semua rang undang-undang sama ada baharu atau pindaan yang telah diluluskan pada 2023.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, asas kepada semua perkara berkenaan ialah memastikan sistem perundangan negara berpaksikan kepada rakyat atau memberi manfaat kepada rakyat selaras aspek ihsan di dalam konsep MADANI yang didukung Kerajaan Perpaduan.

"Apa guna kerajaan beri perbelanjaan tinggi-tinggi untuk undang-undang tapi rakyat tak rasa manfaatnya, kita nak laksana undang-undang, reformasi institusi, perlu ukur kesusahan rakyat sebagai kejayaan reformasi yang ingin kita buat, kerana rakyat adalah pelanggan utama kita.

Iklan

"Sebab itu tahun ini kita dah bantu 38,749 individu keluar daripada muflis, itu jumlah yang progresif dan tahun hadapan kita sasar nak bantu lepaskan kira-kira 130,000 orang lagi, ini pun ihsan dalam MADANI, beri golongan ini peluang kedua," katanya dalam program Ruang Bicara: Setahun Bersama Kerajaan MADANI yang disiarkan secara langsung di saluran Bernama TV malam Isnin.

Penguatkuasaan Akta Insolvensi (Pindaan) 2023 [A1695] yang dilaksanakan mulai 6 Okt lepas memberi peluang kedua kepada individu bankrap bagi meneruskan kehidupan dengan lebih baik dan seterusnya dapat kembali menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Azalina berkata, aspek perundangan lain yang akan diberi penumpuan pada 2024 ialah bantuan guaman dengan mewujudkan lebih banyak jerayawara serta program justice on wheel.

Iklan

"Contohnya di Sabah dan Sarawak ada mahkamah bergerak, tapi tiada bantuan guaman bergerak, jadi apa gunanya itu jika mereka tiada peluang untuk menggunakan hak dalam undang-undang, tak tahu nak rujuk siapa pun,” katanya.

Beliau berkata, pada tahun depan Mahkamah Siber yang akan menguruskan perundangan terkait scammer atau penipuan siber dan digital, hal-hal seperti mata wang kripto, e-dompet dan segala platform berkaitan akan diperkasa.

Azalina berkata, kewujudan Mahkamah Siber seiring dengan perkembangan kemajuan kes-kes di platform digital yang bergerak pantas itu memerlukan kepakaran baharu kepada pihak pendakwaan dan hakim kerana ia melibatkan aspek pembuktian berbeza dengan dahulu.

"Analoginya mangsa itu dimangsakan kerana tiada pembuktian, nak menjejak semua bukti dah hilang, laju je dalam dunia digital ini, sebab itu kita kena ada satu perundangan yang selari dengan gerakan sebegitu laju," katanya.

Mengulas mengenai pencapaian setahun Kerajaan Perpaduan, Azalina berkata, 2023 boleh disifatkan sebagai fasa pertama dalam usaha melaksanakan reformasi institusi di bawah kerangka Malaysia MADANI.

Katanya, ketelusan dan tatakelola lebih baik dapat dilihat apabila Laporan Ketua Audit Negara dan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) buat pertama kalinya dibahaskan di Parlimen.

"Tahun ini juga kita sentuh antaranya bab undang-undang kebangkrapan, Jabatan Bantuan Guaman, kaji semula undang-undang jenayah, Rang Undang-Undang Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak (Pindaan) 2023, hukuman mati mandatori yang kini mendapat budi bicara Hakim dan Rang Undang-Undang Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing 2023," katanya.

Azalina berkata, semua proses melibatkan pindaan atau penggubalan rang undang-undang baharu bagi menjayakan reformasi institusi memerlukan banyak masa dan penglibatan ramai pihak berkepentingan.

"Undang-undang ini kita bukan Dewan Rakyat bersidang 300 hari setahun, jadi perlu masa nak bentang, nak bahas dan kita dalam format Persekutuan, ada perlembagaan, ada senarai pusat, senarai negeri dan senarai bersama, jadi ada benda perlu ambil kira pandangan kerajaan negeri juga," katanya.- Bernama