SHAH ALAM – Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) menaja seramai 57 pelajar untuk mengikuti sebagai peserta World #QuranConvention 'Serve To Be Served: A Divine Guidance From Surah Al-Insan' di Movenpick Hotel & Convention Centre KLIA, Sepang pada 2 Disember lalu.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Norhana Yaakub berkata, penglibatan YPM selaras dengan nilai yayasan sebagai pengurus dana pendidikan yang dipercayai dan mementingkan integriti dan amanah dalam menyediakan tajaan dan bantuan kewangan kepada pelajar.
Menurutnya, ia juga selaras dengan visi dan misi YPM dalam melahirkan pemimpin masa hadapan dengan menyediakan dana pendidikan untuk peningkatan keupayaan minda melalui sistem pendidikan integrasi dan holistik.
"Impak positif penyertaan anak muda pada konvensyen ini adalah memupuk mereka untuk mengubah cara fikir yang berlandaskan al-Quran dalam mendepani cabaran dunia. Surah al-Insan menawarkan solusi melalui nilai-nilai abrar dalam mengurus di peringkat individu sehingga ke komuniti.
"Nilai-nilai abrar dibentangkan surah berkenaan antaranya membesarkan nilai syukur, sabar dan menyantuni yang lain dalam visi menjadi hamba ALLAH SWT.
"Ia juga memotivasikan anak muda membawa mesej perubahan kepada komuniti masyarakat. Mereka juga antara ejen yang akan membawa nilai-nilai abrar melalui kandungan media berlandaskan nilai-nilai al-Quran,” katanya.
Sebelum ini, akhbar melaporkan, World #QuranConvention yang merupakan platform terbaik boleh menerangkan tentang kepentingan media kreatif dalam menyampaikan kisah al-Quran kepada orang ramai.
Segmen berkenaan dihoskan pengarah program, Ustaz Nouman Ali Khan dari Amerika Syarikat (AS) dengan dua lagi panelis iaitu Menteri Komunikasi dan Digital (KKD), Fahmi Fadzil dan Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam (IIDR), Sharif Hasan Al-Banna.
Berkongsi mengenai peranan YPM, Norhana berkata, yayasan tersebut merupakan institusi yang bernaung di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dalam menguruskan dana agihan zakat pendidikan meliputi 13 program.
Beliau memaklumkan, YPM turut menguruskan dana yang disumbangkan oleh individu dan korporat bagi tujuan penajaan Pendidikan antaranya menerusi Program Anak Angkat, Prihatin @ School, Prihatin @ University, Infra Pondok dan Boleh YPM Tolong.
"Inisiatif utama YPM adalah menyediakan tajaan kewangan dalam menyokong Pembangunan Pendidikan bukan hanya kepada individu malah meliputi institusi pendidikan formal dan pondok.
"Golongan sasar dalam pengurusan Dana Zakat Pendidikan adalah meliputi asnaf fakir, miskin, fisabilillah dan ibnu sabil. Jumlah peruntukan yang diberikan adalah sebanyak RM68.1 juta dan nilai agihan sehingga kini adalah hampir RM60 juta yang melibatkan 41,326 penerima,” ujarnya,
Tambah beliau, dana amanah pendidikan pula memfokuskan kepada kemudahan pendidikan sekolah antaranya pembangunan hub digital bagi menyokong pembelajaran aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
Sementara itu, Norhana memberitahu, YPM mempunyai agihan bantuan yang paling popular iaitu Bantuan Awal Pengajian dan Bantuan Zakat Pendidikan IPT melibatkan pengajian dalam dan luar negara setiap tahun.
Menurutnya, pada 2023 sebanyak RM38,123,284.30 telah diagihkan dan melibatkan seramai 29,928 penerima dalam pelbagai peringkat pengajian tinggi.
"Peringkat institusi sekolah pula melibatkan jumlah agihan sebanyak RM8,253,515 dengan jumlah 8,328 penerima.
"Harapan saya dalam menerajui YPM adalah agar yayasan menjadi pengurus dana pendidikan yang dipercayai dalam menyediakan peluang pendidikan berkualiti bukan hanya di Terengganu tetapi meliputi nasional dan antarabangsa,” katanya.