Bunuh, gilis rakan: Bekas pemandu lori terlepas hukuman mati

Iklan
Istana Kehakiman.

PUTRAJAYA - Seorang pemandu lori terlepas daripada tali gantung apabila Mahkamah Persekutuan menggantikan hukuman itu dengan penjara 33 tahun dan 12 sebatan, kerana membunuh rakan sekampungnya dengan melanggar dan menggilis mangsa dengan sebuah kereta, sembilan tahun lepas.

Hakim Besar Malaya, Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah yang bersidang bersama-sama Hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal membuat keputusan itu selepas menggunakan kuasa budi bicara mereka bagi menggantikan hukuman mati Azami Mohamed, 49, dengan hukuman penjara.

Iklan
Iklan

Panel tiga hakim itu memutuskan demikian susulan pemansuhan hukuman mati mandatori yang berkuat kuasa 4 Julai lepas, yang membenarkan mereka memilih menjatuhi hukuman penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun bagi menggantikan hukuman mati mandatori.

Bapa tiga anak itu turut diperintah menjalani hukuman penjara mulai tarikh dia ditangkap pada 2 Oktober 2014.

Iklan

Ketika membacakan keputusan sebulat suara itu, Mohamad Zabidin berkata, tiada kesilapan dibuat oleh Mahkamah Tinggi yang mendapati perayu (Azami) bersalah atas tuduhan membunuh.

"Namun, mahkamah bersetuju dengan peguam agar perayu diberi peluang kedua. Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman mati dan menggantikannya dengan hukuman penjara 33 tahun dan 12 sebatan,” kata hakim itu.

Iklan

Pada 23 November 2022, Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman mati selepas menolak rayuan Azami terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 14 Julai 2019, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Azami didapati bersalah atas kesalahan membunuh Rohadi Yaakob, 49, seorang pesawah di jalan raya Kampung Jelapang, Sungai Tong, Setiu, pada jam 6 petang, 2 Oktober 2014.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya How May Ling berhujah bahawa mahkamah perlu mengambil kira 35 kecederaan dialami mangsa di bahagian kepala dan badan, selain perayu mempunyai niat membunuh.

"Semasa kejadian, berlaku pertengkaran mulut antara perayu (Azami) dan si mati, yang mana perayu berkata"aku akan tepuh mu (langgar mu) sampai mapuh (mampus/mati)”.

Peguam Mohd Kamaruzaman A Wahab, mewakili perayu pula memohon mahkamah memberikan peluang kedua terhadap anak guamnya dengan menggantikan hukuman mati dengan hukuman pemenjaraan antara 30 hingga 40 tahun.

"Anak guam saya mempunyai tiga anak. Sebelum ini dia bekerja sebagai pemandu lori dengan pendapatan RM1,000 sebulan. Dia juga tidak mempunyai rekod lampau,” kata peguam itu. - Bernama