KUALA LUMPUR - Empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meminta Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mendesak Israel agar berhenti menceroboh dan mengganggu imam serta pegawai Masjid Al-Aqsa.
NGO berkenaan dalam kenyataan bersama itu turut meminta OIC bertindak tegas untuk membebaskan masjid berkenaan sebagaimana tujuan asal penubuhannya pada 1969.
Kenyataan bersama itu dikongsikan Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid, Pengerusi Aliansi Masjid Sedunia Pertahan Al-Aqsa Datuk Seri Syekh Ahmad Awang, Pengerusi Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia Datuk Wira Syekh Abdul Ghani Samsudin dan Setiausaha Sekretariat Palestin Malaysia Syed Syekh Al Attas.
"Kami mengecam tindakan Israel yang semakin ganas dan menyasarkan pemimpin Palestin,” kata mereka dalam kenyataan itu di sini pada Selasa.
Menurut mereka, tindakan Israel menyerbu rumah Imam Masjid Al-Aqsa (Syeikh Dr Ekrima Sabri) dan melarang beliau melakukan perjalanan adalah tindakan biadab dan mencabar umat Islam.
Para pemimpin itu menyeru umat Islam bangkit mengecam Israel dan menuntut kebebasan terhadap imam itu untuk beribadat di Masjid Al-Aqsa.
"Syeikh Dr Ekrima merupakan pengkritik tegar pendudukan Israel dan percubaan menutup mulutnya daripada lantang menyuarakan kebenaran tidak akan berjaya kerana suaranya akan tetap didengari dunia,” katanya.
Menurut mereka, sebagai Mufti Baitulmaqdis dan wilayah Palestin dari 1994 hingga 2006, ketokohan beliau akan menjadi inspirasi kepada umat Islam untuk membebaskan Masjid Al-Aqsa dan Palestin.- Bernama.