PEREKA fesyen terkenal dan usahawan, Datuk Jovian Mandagie mengumumkan perpisahan dengan isterinya, Datin Nina Sabrina Ismail Sabri selepas 10 tahun mendirikan rumah tangga.
Perkara tersebut dimaklumkan Jovian menerusi hantaran yang dimuat naik di Instagram pada Selasa.
Menurutnya, keputusan untuk menamatkan perkahwinan tersebut telah disepakati bersama Nina Sabrina malah ia akan kekal menjadi persahabatan seumur hidup.
"Pada Ogos lalu, kami memutuskan untuk berpisah kerana percaya ini yang terbaik dan sebagai ibu bapa, kebahagiaan anak kekal menjadi keutamaan.
"Alhamdulillah, kami dah buat yang terbaik. Kasih sayang terhadap keluarga dan ibu bapa juga tidak berubah. Kita yakin dengan perancangan ALLAH SWT.
"Sepanjang sedekad lalu, ramai yang menjadi sebahagian daripada perjalanan kami dan harap anda semua masih menyokong kami seperti biasa," katanya.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Jeanelle Nika Mandagie pada 1 November 2017.
Tambah Jovian, walaupun berpisah, mereka masih dalam keadaan yang baik dan tidak membenci antara satu sama lain.
"Semalam, semasa siaran langsung di TikTok, saya tersentuh dengan komen orang ramai mengenai kami sebagai pasangan.
"Percayalah, apa sahaja yang ada lihat di media sosial kami selama empat bulan lalu adalah nyata.
"Terima kasih atas doa semua. Kami akan memulakan lembaran baru yang berasingan selepas ini," ujarnya.