KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan Perpaduan berlandaskan Ekonomi Madani dengan menumpukan kebijakan ekonomi untuk meningkatkan pertumbuhan telah membawa hasil terutama dalam sektor baharu seperti digital, tenaga hijau dan tenaga boleh baharu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pertumbuhan ekonomi negara turut dibuktikan menerusi peningkatan kemasukan pelaburan asing dengan nilai yang lebih tinggi berbanding dengan tahun-tahun sebelum ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kestabilan politik negara dan dasar ekonomi yang jelas turut menjadi pemangkin dalam menyuntik keyakinan pelabur asing untuk melihat Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang menguntungkan.
"Dalam pendidikan masyarakat, hal-hal (berkaitan) tata kelola harus ditegaskan...saya ambil alih kuasa (pentadbiran) dengan satu mandat tanpa bertolak-ansur (terhadap kesalahan tata kelola).
"Saya bersyukur, (dalam tempoh) pentadbiran satu tahun ini, belum ada walau satu sanggahan terhadap mana-mana pemimpin yang mengaut kekayaan secara haram. Ini satu rekod yang tidak boleh dimungkiri kenyataannya," katanya dalam wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam ini.
Perdana Menteri berkata, kemasukan pelaburan langsung asing memberi impak positif kepada ekonomi Malaysia dan mencipta lebih banyak peluang pekerjaan terutama dalam kalangan anak muda, selain peningkatan tahap kemahiran dan pengetahuan mereka.
Beliau menegaskan, walau bagaimanapun, terdapat cabaran yang perlu ditangani oleh kerajaan iaitu menyediakan bentuk latihan dan kemahiran yang lebih sesuai serta memenuhi kehendak pasaran.
"Tumpuan kerajaan adalah pertumbuhan ekonomi, mutu pendidikan, kemudahan kesihatan yang lebih baik dan sosioekonomi yang lebih baik seperti menokhtahkan kemiskinan tegar dan sekolah daif.
"Melalui pelaburan yang jauh lebih tinggi dan dalam bidang yang dianggap berteknologi tinggi seperti digital dan tenaga boleh baharu, ini akan memberi jaminan untuk pekerjaan yang lebih banyak," katanya.
Beliau memberi jaminan tumpuan kerajaan pada masa ini adalah menyediakan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda, dengan pendapatan tidak tersekat pada kadar RM2,000 sebulan.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), bilangan penganggur pada September 2023 menurun 0.6 peratus kepada 573,700 orang berbanding 577,300 orang pada bulan sebelumnya.
Kadar pengangguran pada September kekal pada 3.4 peratus seperti angka pada Ogos.
Baru-baru ini, Anwar memberitahu persidangan Dewan Rakyat bahawa Malaysia berjaya meraih komitmen pelaburan dengan nilai RM347 bilion sepanjang lawatan rasmi serta misi perdagangan dan pelaburan yang diadakan di luar negara.
Beliau berkata pelaburan tersebut diraih di China, Singapura, Jepun, Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Arab Saudi dan Amerika Syarikat. - Bernama.