KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, rombakan Kabinet perlu diadakan sekiranya prestasi jemaah menteri meleset atau jika terdapat keadaan yang menuntut ia dilaksanakan.
Bagaimanapun, beliau berkata, tempoh masa setahun pentadbiran Kerajaan Perpaduan masih terlalu awal untuk membuat penilaian yang adil dan menteri-menteri perlu diberikan peluang untuk memperbaiki serta meningkatkan prestasi.
Beliau berkata, kerajaan pada hari ini terbentuk daripada gabungan parti, maka setiap keputusan perlu dirunding, dengan penyertaan harus setimpal dan mengambil kira kekuatan parti masing-masing.
"Saya fikir tidak lama lagi... tetapi saya fikir setelah satu tahun, kita buat penilaian yang adil. Orang perintah 10 tahun, tiga tahun... setahun ini terlalu awal, jadi menteri-menteri harus diberi peluang meningkatkan prestasi termasuk Perdana Menteri.
Kemudian kalau ada sedikit penyesuaian berdasarkan pengalaman kita setahun, kita akan lakukan termasuk menambah sekiranya perlu," kata Anwar pada program wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri terbitan TV3 yang disiarkan secara langsung malam ini.
Perdana Menteri pada masa sama menasihatkan Jemaah Menteri untuk tidak berasa selesa dengan prestasi yang telah dicapai Kerajaan Perpaduan sepanjang setahun mentadbir negara.
Anwar berkata, keselesaan kepada rakyat menjadi ukuran sebenar kepada pencapaian kerajaan yang harus sentiasa memberikan khidmat terbaik.
"Kadang-kadang apabila jadi pemimpin, semuanya (dirasakan) terbaik. Sistem pendidikan semuanya nombor satu, kesihatan...terbaik. Kita dengar dulu tetapi bila lihat kenyataan, tandas pun tak dapat dibaiki, sekolah pun banyak yang robek.
Jangan kita termakan dengan penyakit keselesaan. Kalau tanya saya, kita buat sedaya upaya tetapi jangan anggap ini sudah terlalu baik. Ada lagi keupayaan kita untuk membersihkan dan meningkatkan mutu dan etika kerja kerana akhirnya bukan angka pertumbuhan yang disebutkan," katanya.
Sementara itu, Anwar berkata, kerajaan perlu memberikan tumpuan kepada aspek tata kelola bagi memastikan pertadbiran yang bersih daripada gejala rasuah dan salah guna kuasa.
Beliau berkata, aspek tata kelola tidak boleh diremehkan dan mana-mana negara yang mempunyai keupayaan tinggi sekali pun tidak mungkin mencapai tahap membanggakan sekiranya isu tata kelola tidak diselesaikan."Sebab itu semua pemimpin dipantau dan badan-badan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) harus beri laporan apakah ada gejala penyalahgunaan kuasa, kerja sakau-menyakau, apakah pendapatan, kekayaan perdana menteri dan menteri-menteri itu nampak menonjol tinggi.
Ini kalau dapat dibersihkan maka kita boleh melaksanakan beberapa kerangka ekonomi seperti Ekonomi MADANI, transisi peralihan tenaga, transformasi digital, perindustrian dengan misi yang jelas, ini semua dapat dilakukan.
Alhamdulillah setakat ini, walaupun masih ada ruang untuk diperbaiki, kita telah mencapai apa yang mampu kita lakukan dan ternyata lebih baik daripada dahulu," katanya. - Bernama.