KEROSAKAN padang Stadium Nasional Bukit Jalil mungkin berulang sekiranya rumput yang baru ditanam belum benar-benar 'kuat'.
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri berkata, kerosakan pada rumput mengambil masa untuk pulih kerana ia memerlukan air dan matahari mencukupi untuk pertumbuhan yang baik.
Malah, beliau memberitahu, biarpun kerja-kerja pembaikan giat dijalankan oleh Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), namun rumput tidak berada pada tahap prestasi terbaik untuk digunakan.
"Selalunya memerlukan masa untuk pulih sebab permukaan padang ditutup sepanjang konsert.
"Rumput memerlukan air, matahari serta nutrien yang cukup untuk pertumbuhan dan akibat ditutup lama sebelum dan semasa konsert kebanyakan rumput menjadi kekuningan.
"Ia memerlukan masa untuk pulih dan membenarkan akar rumput Zeon Zoysia kuat,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Rumput Stadium Nasional Bukit Jalil terus diperkatakan peminat bola sepak selepas Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambar padang tersebut yang masih rosak selepas konsert kumpulan Coldplay, baru-baru ini.
Situasi itu sekali gus menimbulkan persoalan sama ada padang tersebut sudah bersedia untuk digunakan untuk aksi final Piala Malaysia antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Terengganu FC (TFC) pada Jumaat ini.
Sebelum ini, Tunku Ismail yang juga pemilik JDT menjadi watak penting selain penaja untuk menukar rumput jenis Cow Grass kepada Zeon Zoysia di Stadium Nasional Bukit Jalil itu.
Insiden padang 'terkoyak' ketika aksi skuad Harimau Malaya menentang India pada kempen Pestabola Merdeka Oktober lalu mengundang kecaman peminat sehingga hari ini.