SEBARANG langkah membenarkan kemasukan kereta diimport sepenuhnya (CBU) berkapasiti enjin kecil akan mendorong kepada lambakan dalam pasaran selain menjejaskan matlamat kerajaan bagi membangunkan industri automotif tempatan.
Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong berkata, ini akan turut menjejaskan Dasar Automotif Nasional (NAP) 2020 sekiranya syarikat-syarikat Pengilang Peralatan Tulen (OEM) beralih daripada aktiviti pengeluaran kereta tempatan kepada pengimportan CBU.
"Pada masa sama, ia akan menjejaskan perancangan pelaburan jangka masa panjang pengeluaran tempatan oleh syarikat-syarikat OEM dan kedua-dua syarikat pengeluar kereta nasional.
"Malah, ini seterusnya akan menjejaskan usaha ke arah pembangunan vendor tempatan, termasuk kehilangan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan pada masa depan,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Negara di sini pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Senator Seruandi Saad mengenai kesediaan kerajaan untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) dan peraturan permit import bagi kemasukan kenderaan berkuasa kuda (cc) rendah seperti 660 cc.
Mengulas selanjutnya, Chin Tong berkat,a tumpuan hala tuju industri automotif tempatan adalah menggalakkan aktiviti pemasangan tempatan oleh syarikat pengeluar kereta nasional dan syarikat-syarikat OEM tanpa mengira jenama serta kapasiti enjin kenderaan.
"Kapasiti enjin yang kecil tidak semestinya memberi gambaran bahawa sesuatu kenderaan tersebut dijual pada harga rendah kerana import masih tertakluk kepada cukai import, cukai eksais dan cukai jualan,” katanya. - Bernama