Arab Saudi haramkan sambutan tahun baru 'tanpa izin'

Iklan
Kerajaan Arab Saudi tidak mengeluarkan sebarang permit untuk mengadakan sambutan tahun baru di Riyadh. - Foto Agensi

KAHERAH - Pihak berkuasa Arab Saudi bertindak menghentikan persiapan upacara sambutan tahun baru di negara itu kerana tiada sebarang permit diluluskan bagi acara seperti itu di negara terbabit, lapor portal berita Saudi Ajel.

Sejak beberapa hari lalu, berita mengenai sambutan malam tahun baru di bandar Mellham di utara ibu kota Riyadh itu menjadi tular di media sosial yang dilaporkan akan menampilkan pertunjukan bunga api dan juga persembahan DJ.

Iklan
Iklan

Pihak berkuasa hiburan umum negara itu yang bertanggungjawab menyelia acara hiburan kerajaan mengatakan pihaknya tidak mengeluarkan sebarang permit atau lesen mengenai sambutan tahun baru di Mellham.

"Penganjuran acara itu telah dihentikan dan notis pemberitahuan sudah dibuat kepada gabenor Riyadh untuk mengambil tindakan undang-undang pihak terbabit," kata agensi itu.

Iklan

Sejak kebelakangan ini, Arab Saudi telah melaksanakan transformasi sosial dan ekonomi secara meluas dengan menjadikan negara itu sebagai destinasi pelancongan dalam usaha mempelbagaikan sumber ekonomi yang ketika ini bergantung kepada minyak.

Tahun lalu, kerajaan Arab Saudi telah memberi kebenaran kepada golongan wanita untuk memandu kereta, sekali gus menamatkan larangan memandu selama setahun selain pawagam juga kembali dibuka semula.

Iklan

Penghibur terkemuka dari seluruh dunia juga telah melakukan konsert di Arab Saudi dalam beberapa bulan kebelakangan ini. - Agensi.