Usah terlalu hormati Argentina

Iklan
Harris (dua dari kiri) meraikan jaringannya bersama rakan-rakan sepasukannya ketika menentang Chile dalam aksi pembukaan Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional pada Selasa. FOTO: BERNAMA

MALAYSIA mendapat tonik tambahan menjelang pertemuan menentang penyandang juara, Argentina dalam aksi kedua Kumpulan A Piala Dunia Hoki Remaja Lelaki 2023 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.

Kemenangan besar 7-1 ke atas Chile dalam aksi pembukaan malam tadi mencerminkan petanda positif buat skuad kendalian Muhammad Amin Rahim itu sebelum berdepan gergasi Amerika Selatan itu.

Iklan
Iklan

Malah, Amin turut mengingatkan anak-anak buahnya agar tidak terlalu menghormati Argentina sekalipun lawan mereka itu diletakkan sebagai pilihan bersandarkan reputasi selaku pasukan nombor satu dunia.

"Hormat itu kena hormat kerana mereka juara bertahan, tapi tak perlu hormat sangat. Pasukan mereka sekarang tidak sekuat pasukan juara di Bhubaneswar (di India dua tahun lalu).

Iklan

"Apa yang pemain saya tunjukkan pada perlawanan ini (menentang Chile malam tadi), saya yakin mereka ada keupayaan untuk mengatasi Argentina,” kata Amin dalam sidang akhbar.

Pada masa sama, Amin enggan barisan pemainnya terus dibuai kejayaan membenam Chile, sebaliknya beliau menuntut mereka kekal fokus menjelang aksi berdepan Argentina.

Iklan

"Kita sedar Argentina juga mungkin menyimpan kuku ketika bertemu Australia. Jadi saya harap para pemain tidak alpa dengan kemenangan ke atas Chile.

"Kita tak boleh leka walaupun sesaat bertemu Argentina. Mereka sebuah pasukan yang mempunyai kemahiran individu sangat tinggi dan struktur pasukan agak berbeza dengan pasukan lain,” jelasnya.

Argentina tampak bergelut ketika berdepan Australia dalam aksi pertama mereka sebelum melakar kemenangan 1-0 menerusi jaringan padang Ignacio Nardilillo.

Mengulas kemenangan besar ke atas Chile, Amin berkata, beliau gembira apabila skuad Young Tigers berjaya merealisasikan sasaran awal dengan bermula langkah kanan.

"Daripada aspek pukulan sudut penalti dan jaringan padang, saya berpuas hati dengan kedua-duanya. Ada beberapa kelemahan yang perlu kami perbaiki dan harap tidak diulangi esok (malam ini),” ujarnya.

Dalam pertemuan menentang Chile, pakar pukulan sudut penalti, Shahmie Irfan Suhaimi menyumbang dua gol termasuk menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-55.

Sebelum itu, gol Malaysia terhasil menerusi jaringan Muhammad Harris Iskandar Osman pada minit ke-13; Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar (23), Andywalfian Jeffrynus (36); Azmilmuizzuddin Misron (39); Mohamad Shamir Rizmi Shamsul (41) dan Shahmie (47).