KUANTAN - Sebanyak 17 projek pembekalan air di Pahang telah siap pada tahun ini dengan peruntukan hampir RM74 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pelaksanaan projek itu membabitkan beberapa daerah antaranya Lipis, Bentong, Raub, Temerloh dan Kuantan.
"Kita tidak pernah mengabaikan masalah air yang dialami oleh rakyat di Pahang dan tahun ini hampir RM74 juta peruntukan bagi membina dan menyiapkan (projek pembekalan air).
"Untuk makluman Yang Dipertua, insya-ALLAH kita akan cuba selesai, walaupun sasaran sebanyak 90 peratus isu air selesai menjelang akhir 2026," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan tambahan Andansura Rabu (PN-Beserah) yang ingin mengetahui lebih lanjut penyelesaian isu air di Pahang pada pada Sesi Pertanyaan Lisan Mesyuarat Ke-3 Penggal Ke-2 Dewan Negeri Pahang Ke-15 di Wisma Sri Pahang, pada Rabu.
Sebelum itu, Wan Rosdy berkata, Projek Pembangunan Bekalan Air Negeri Pahang Fasa 1 2021 hingga 2026, sebanyak 217 projek disenarai.
Jelasnya, daripada jumlah itu, 93 projek telah siap, 37 projek dalam pembinaan dan 87 projek dalam fasa pra-pembinaan.
Menjawab pertanyaan mengenai projek pembinaan tangki sedutan dan rumah pam di Taman Batu Hitam, Wan Rosdy berkata, sistem Bekalan Air Batu Hitam, Berserah adalah projek yang akan dilaksanakan di bawah pembiayaan Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Ujarnya, kos projek itu adalah sebanyak RM17.8 juta dan akan bermula pada pertengahan 2024 serta dijangka siap pada akhir 2025.
"Projek ini dilaksanakan bagi menyelesaikan masalah terputus bekalan dan tekanan air rendah di kawasan Kampung Darat Sekolah, Kampung Jeram, Kampung Bukit Gelugor dan Taman Batu Hitam yang melibatkan 3,900 akaun pengguna.
"Status semasa projek ini adalah di peringkat lantikan perunding yang akan dilaksanakan oleh pihak PAAB," katanya.