Perak kutip lebih RM2 juta denda perokok

Iklan
Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengutip RM2.1 juta hasil aktiviti penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan pengeluaran notis Seksyen 3B sejak Januari hingga September tahun ini. - Gambar hiasan

IPOH - Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Perak mengutip RM2.1 juta hasil aktiviti penguatkuasaan kawasan larangan merokok dan pengeluaran notis Seksyen 3B sejak Januari hingga September tahun ini.

Exco Sumber Manusia, Kesihatan, Hal Ehwal Masyarakat India dan Integrasi Nasional Perak, A Sivanesan berkata, dalam tempoh sembilan bulan itu sebanyak 2,274 aktiviti penguatkuasaan dilaksanakan manakala sejumlah 8,465 notis Seksyen 3B telah dikeluarkan.

Sivanesan ketika menjawab soalan lisan berkaitan penguatkuasaan kawasan larangan merokok sempena Sidang DUN Perak di sini pada Rabu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, berbanding sepanjang tahun 2022, sebanyak 2,603 aktiviti operasi penguatkuasaan dilaksanakan dan 5,222 notis Seksyen 32B dikeluarkan dengan anggaran nilai kutipan sejumlah RM1.3 juta.

"Kementerian Kesihatan (KKM) terus berusaha untuk memperkukuhkan aktiviti penguatkuasaan kawasan larangan merokok, aktiviti ini adalah satu prioriti dalam Pelan Tindakan JKN Perak.

Iklan

Terdapat peningkatan bilangan bagi pengeluaran notis dan juga nilai kutipan melalui pembayaran kompaun jika dibandingkan sehingga bulan September tahun ini dan tahun 2022.

"Sasaran aktiviti penguatkuasaan yang lebih tinggi ditetapkan dalam Pelan Tindakan JKN Perak bagi tahun 2024," katanya ketika menjawab soalan lisan Dr Najihatussalehah Ahmad (PN-Bota) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini pada Rabu.

Iklan

Sivanesa berkata, sepanjang tahun 2022 dan 2023, sebanyak 108 aktiviti kempen advokasi dijalankan di Perak merangkumi aktiviti di institusi pengajian tinggi awam, sekolah, masjid, kompleks beli belah, jabatan kerajaan dan komuniti.

Katanya, di antara program-program advokasi yang dijalankan termasuklah progam Advokasi Bahaya Merokok dan Kawasan Larangan Merokok, Program Advokasi Speak Out, Program Jom Berhenti Merokok, Advokasi Rumah Bebas Asap Rokok atau MyHouse, Promosi Generational End Game (GEG), Kempen mQuit Masjid, Kempen Bahaya Merokok Sempena Nafas Baru Bermula Ramadan.

"Sehingga kini, pelbagai langkah diambil bagi menangani masalah perokok ini bukan sahaja kepada golongan dewasa, malah pada awal usia persekolahan. Selain daripada aktiviti penguatkuasaan yang dilakukan oleh Unit Inspektorat, hebahan dan peringatan berkaitan kawasan larangan merokok kepada masyarakat awam dijalankan dari semasa ke semasa di setiap program kempen awam yang dijalankan.

"Kempen Bersuaralah: Nyatakan Hak Anda, Lindungi Paru-paru Anda merupakan inisiatif KKM memperkasakan rakyat Malaysia untuk menegur perokok yang merokok di sekeliling mereka. Mesej kempen ini disalurkan melalui pameran-pameran berkaitan rokok, kempen advokasi, temu bual radio dan edaran 'table top sticker' ke medan selera di negeri Perak," katanya.