TERFIKIR untuk bertaubat, namun entah mengapa tiba-tiba sahaja berubah fikiran. Boleh pula kita melengah-lengahkan perbuatan tersebut.
Ketahuilah bahawa ajakan untuk menangguhkan taubat sebenarnya merupakan ‘jarum halus’ iblis.
Demikian yang dikongsikan oleh pendakwah dikenali sebagai Muzuza menerusi akaun X miliknya.
Andai kita bergelut dengan perasaan itu, beliau menasihatkan agar kita usah sesekali tunduk dengannya.
Namun begitu, bagaimana pula jika kita buat dosa lagi kemudian?
Pemilik akaun platform X @Muzuzxck itu menjawab, sememangnya manusia tidak akan mampu terlepas daripada dosa.
"Akan tetapi, kerja kita adalah berusaha untuk mengelakkan diri daripada dosa. Adapun, dosa yang akan datang pula, itu bukanlah suatu yang kita mampu tahu dari masa depan.
Bagaimapun, Muzuza yang juga penulis buku kerohanian itu mengingatkan agar kita usah pula sengaja ingin berbuat dosa atau maksiat lagi kerana itulah yang dinamakan sebagai taubat kita sebelum ini tidak bersungguh-sungguh.
Sebaiknya, beliau menasihatkan agar kita melakukan taubat nasuha iaitu dengan menyesali perbuatan maksiat, berazam untuk tidak kembali melakukan dosa dan mengusahakan solat sunat taubat.
"Pada masa sama, berdoalah supaya ALLAH memberikan kita kekuatan untuk menghindari diri daripada dosa terutamanya dosa paling besar iaitu syirik kepada ALLAH. Na’uzubillah,” katanya.
Kepada mereka yang baru mula bertatih untuk bertaubat daripada maksiat, Muzuza turut berkongsi cara atau anjuran sesuai dengan syariat Islam.
Antara lain termasuklah dengan menjauhi tempat yang memungkinkan kita melakukan maksiat, menyibukkan diri dengan bacaan al-Quran atau majlis ilmu.
"Bukan itu sahaja, sebaiknya berdampinglah dengan orang alim dan soleh, rapatkan diri dengan kawan yang soleh dan banyakkan berdoa.
"Di samping mempelajari cara buat amalan wajib, galilah ilmu fardu ain dan banyakkan bersabar atas kritikan manusia di sekeliling,” ungkapnya.
Menyambung hujah, Muzuza menjelaskan, ada sebab mengapa kita tidak boleh menangguhkan taubat.
"Sekalipun orang yang sudah menjaga amalan wajibnya, dia tetap perlu bertaubat. Jika dirinya merasakan tidak memerlukan taubat, maka dialah orang yang paling perlu untuk bertaubat.
"Ini kerana dia telah pun terjatuh dalam jerat iblis kerana berasa diri sudah cukup baik dan tidak perlukan taubat, itu tanda kerosakan hati yang besar,” ujarnya.