SUNGAI PETANI – Pemandu pelancong, Wan Mohd Amirul Adib, 22, masih belum dibenarkan jaminan dan keluarga masih berusaha mempercepatkan proses itu selepas dia ditahan di Thailand atas kesalahan membawa walkie talkie, Disember lalu.
Ibunya, Siti Zubaidah Saad, 47, berkata, dia bersama peguam dan Konsulat Malaysia di Songkla telah hadir ke Mahkamah Nathawee Songkla, Thailand semalam (7 Januari), bagi menjamin Amirul Adib, namun belum dibenarkan berbuat demikian.
Menurutnya, hakim memutuskan tidak membenarkan jaminan setakat ini kerana mahkamah belum menerima kertas pertuduhan daripada pegawai polis yang menyiasat kes berkenaan.
"Sebelum ini, kami telah menyediakan wang jaminan seperti yang diminta sejumlah RM51,000 dengan bank draf kepada pihak Mahkamah Nathawee dengan seorang penjamin warga Thailand juga telah disediakan.
"Bagaimanapun, pihak mahkamah memaklumkan bahawa kertas pertuduhan masih belum diterima,” katanya.
Dalam masa sama, Siti Zubaidah yang dibantu beberapa pihak lain sedang berusaha mempercepatkan proses jaminan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa Thailand.
Siti Zubaidah juga diminta hadir ke Balai Polis Sadao bagi menguruskan proses berkenaan selain mengharapkan agar jaminan dapat diuruskan dengan segera.
"Saya memohon agar seluruh rakyat Malaysia mendoakan agar urusan kami membawa keluar Amirul Adib dipermudahkan dan dia dibawa pulang ke negara kita dengan selamat,” katanya.
Amirul Adib yang bekerja sebagai pemandu pelancong baharu pertama kali membawa rombongan ke sana ditahan pada 14 Disember lalu atas kesalahan membawa walkie talkie.
Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank Siti Zubaidah bernombor 152023659716.