JOHOR BAHRU - Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor di sini mengalami gangguan bekalan elektrik sejak jam 8 malam pada Selasa.
Gangguan bekalan di bangunan keselamatan itu dipercayai berlarutan beberapa jam sebelum keadaan kembali pulih pada pagi Rabu.
Platform media sosial turut dibanjiri dengan rungutan orang ramai berkenaan gangguan bekalan elektrik yang berlaku yang menyebabkan pergerakan pulang warga Malaysia yang bekerja di Singapura terjejas.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut memberikan komen dengan menyifatkan yang berlaku di CIQ BSI itu amat memalukan pengguna dan memalukan negeri.
"Apa yang berlaku ini amat menyusahkan pengguna dan memalukan negeri.
"Pihak TNB dan JKR telah diarahkan untuk menyelesaikan isu ini pada kadar segera," tulisnya dalam muat naik di Facebooknya.
Onn Hafiz turut melampirkan notis gangguan bekalan elektrik dari pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kepada pihak terlibat.
Tambak Johor adalah antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru ke republik itu.
Sementara itu, pekerja yang berulang-alik dari Johor Bahru ke Singapura, Amalina Omar, 37, berkata kejadian itu menyebabkan bangunan terbabit gelap gelita dan proses cop pasport dilakukan secara manual.
"Malam tadi saya balik kerja dalam jam 8.30 keadaan CIQ sudah gelap. Pagi ini saya keluar bekerja awal kerana bimbang berlaku kesesakan, memang betul sesak dengan gelap gelita dan panas.
"Biasanya dalam 20 minit selesai proses cop pasport tetapi hari ini saya terpaksa beratur tiga jam untuk proses secara manual," katanya ketika dihubungi.