MELAKA – Acara penutup Program Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019, A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Puteri, Klebang di sini semalam berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 5,000 pengunjung.
Melaka yang sebelum ini menjadi tuan rumah sebagai pembuka tirai pada 17 Mac lalu, sekali lagi dipilih sebagai penutup bagi acara pertandingan memancing jelajah kebangsaan yang penuh berprestij itu.
Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari berkata, meskipun Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019 telah melabuhkan tirainya, namun kedatangan orang ramai terutama pelancong luar tidak akan terhenti setakat itu.
"Saya yakin acara ini telah memberi impak yang cukup besar kepada pemain dalam sektor pelancongan di Melaka khususnya penduduk tempatan, peniaga kecil, pemilik hotel, homestay dan mereka yang terlibat dalam industri ini.
"Saya difahamkan bagi acara ini, kebanyakan pemancing akan menggunakan cacing jangkau yang banyak terdapat di Melaka iaitu Kampung Telok Gong. Untuk aktiviti ini sahaja, pengusaha cacing jangkau di Melaka telah menerima tempahan sehingga 2,000 ekor dengan nilai RM40,000 hanya satu pusingan. Bayangkan ada berapa banyak pusingan untuk siri jelajah kebangsaan ini.
"Pendapatan peniaga makanan dan pemilik homestay juga tidak kurang hebatnya, mereka peroleh pulangan modal dan keuntungan berganda-ganda dengan adanya program seperti ini, bukan sahaja dapat mempromosikan Melaka, sebaliknya turut menambah pendapatan ekonomi rakyat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Perasmian Penutup Pertandingan Memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019, A Journey To Visit Malaysia 2020 di Pantai Puteri, Klebang di sini semalam.
Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Musa Yusof; Exco Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan negeri, Datuk Muhammad Jailani Khamis; Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Juhari Osman; Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Zulkifly Md Said dan Pengasas Wakjali Event Management, Md Zali Kasran.
Pertandingan anjuran bersama Tourism Malaysia dan Wakjali Event Management itu bertujuan mempromosikan lokasi pelancongan menarik seluruh negara sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.
Pada pertandingan itu, Mohd Esa Salamon dari Batu Pahat, Johor merangkul juara penutup siri akhir Pertandingan Memancing Tourism Malaysia Surfcasting Tour 2019, A Journey To Visit Malaysia 2020 dengan membawa pulang wang tunai RM70,000 apabila berjaya menaikkan ikan belukang seberat 1.06 kilogram.
Tempat kedua dimenangi Muhammad Fauzi Zalaludin dari Sepang, Selangor yang mendapat RM12,000 dan ketiga, Awaludin Abdullah membawa pulang RM5,000.
Pemenang keempat menerima RM1,000, kelima RM700, keenam hingga ke-10 membawa pulang RM450, manakala pemenang ke-11 hingga ke-100 menerima wang tunai RM300.
Sementara itu, pertandingan siri akhir tersebut turut menyaksikan juara keseluruhan yang mengumpul mata tertinggi daripada 10 pusingan memandu pulang sebuah kereta Perodua Myvi bernilai RM45,000.
Naib juara memenangi Perodua Bezza bernilai RM42,000 dan tempat ketiga pula menerima Perodua Axia bernilai RM32,000.
Turut disediakan pelbagai hadiah cabutan bertuah kepada pengunjung yang hadir sama memeriahkan program tersebut.