Polis ronda, pantau mangsa banjir tidak pindah

Iklan
Mohd Yahfizaril (dua dari kanan) bertemu dan bertanya khabar penduduk di Kampung Serongga

PASIR MAS - Rondaan setiap hari pasukan polis di kawasan banjir bertujuan menjaga keselamatan penduduk yang enggan berpindah berikutan nekad mahu menjaga haiwan ternakan dan harta benda di rumah.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Kama Azural Mohamad berkata, kekerapan rondaan ialah satu jam sekali setiap hari bagi memastikan penduduk di kawasan bencana tidak mengalami masalah.

Iklan
Iklan

Menurut beliau, dalam tempoh banjir, polis menerima laporan kejadian pecah rumah tetapi tidak melibatkan kediaman mangsa bencana itu sama ada yang berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) atau sebaliknya.

Mohd Yahfizaril (dua dari kiri) melakukan rondaan bersama pegawai dan anggota di Kampung Serongga pada Rabu.

"Selain berjalan kaki, kami melakukan rondaan menggunakan semua logistik yang disediakan termasuk bot, kereta dan motosikal," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Iklan

Kama Azural memberitahu, seramai 408 anggota polis bersama agensi keselamatan termasuk bomba dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan askar bertugas setiap hari mengikut jadual yang ditetapkan.

Jelas beliau, sebanyak 18 kampung di daerah ini masih dinaiki air antara antara 0.8 hingga 1.5 meter menyebabkan ada di antara jalan ditutup kepada kenderaan ringan.

Iklan

"Antara kampung terbabit ialah Kampung Serongga,Pasir Mas; Kampung Tersang, Kampung Padang Licin, Kampung Tok Deh dan Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang," katanya.

Beliau turut menasihatkan penduduk supaya berpindah dalam keadaan cuaca yang diramal hujan berterusan sehingga beberapa hari.

Sementara itu, beliau memaklumkan keadaan terkini di Rantau Panjang semakin baik dan ada peniaga yang mula membuka perniagaan mereka.

Bagaimanapun katanya, pelanggan masih berkurangan kerana mangsa banjir belum pulang ke rumah berikutan kawasan mereka ditenggelami air.

Sebelum itu, Ketua Polis Balai, Balai Polis Pasir Mas, Inspektor Mohd Yahfizaril Yahya bersama pegawai dan anggota melakukan rondaan di kediaman pen duduk di Kampung Serongga.