SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur meluluskan penarikan balik dan membatalkan permohonan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap firma guaman, Rosli Dahlan Saravana Partnership (RDS) dan peguam, Rosli Dahlan pada Rabu.
Rosli dalam satu kenyataan berkata, ia berhubung permohonan agensi penguatkuasaan itu untuk mendapatkan dokumen berkaitan proses penyelesaian antara kerajaan Malaysia dan Ambank serta Goldman Sachs berkenaan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
"Dari bermulanya episod ini, saya telah menegaskan bahawa tindakan SPRM terhadap firma saya dan saya adalah berupa skandal, mengaibkan, remeh, memfitnah, tidak berasas dan songsang.
"Jelas bahawa SPRM telah memutuskan untuk menarik balik prosiding yang mereka mulakan setelah menyedari ia merugikan mereka sendiri dan meprejudiskan negara.
"Semua muslihat penindasan terhadap firma saya dan saya mesti dihentikan. Kementerian Kewangan dan agensi-agensi Pasukan Petugas Khas mestilah bersikap rasional dan tidak menjejaskan kepentingan negara dengan tindakan, kenyataan dan dakwaan tidak bertanggungjawab yang boleh dijadikan modal oleh pihak lawan,” katanya.
Sinar Harian 6 Oktober lalu melaporkan, SPRM sedang menyiasat beberapa individu kerana disyaki terlibat dalam rasuah dan pengubahan wang haram semasa usaha pemulihan aset 1MDB oleh kerajaan.
Susulan itu, pada 11 Oktober, SPRM memfailkan dua permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dengan menamakan dua firma guaman salah satunya ialah peguam Rosli Dahlan dan Rosli Dahlan Saravana Partnership sebagai responden.
Dalam permohonan itu, SPRM memohon dua responden masing-masing mengemukakan 10 dokumen antaranya surat pelantikan sebagai peguam Goldman Sachs dan 1MDB, penyata akaun serta akaun dua firma guaman berkenaan.
Mengulas lanjut, Rosli berkata, sebagai seorang yang berjiwa patriotik, beliau tetap komited untuk memberikan segala bantuan yang diperlukan oleh kerajaan untuk menyelesaikan pertikaian 1MDB.
Ujarnya, tindakan itu penting bagi memadam episod memalukan ini daripada sejarah kewangan negara.