KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Pahang (MPEN) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Disember lalu.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, MPEN yang dipengerusikan Tan Sri Mohamed Nazir Tun Abdul Razak turut dianggotai dua Exco kerajaan negeri, dua pegawai kanan negeri dan lima lagi ahli.
Menurutnya, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pula dilantik sebagai Sekretariat MPEN.
"MPEN ditubuhkan bagi menggabungkan pengalaman dan kepakaran ahli-ahlinya daripada sektor swasta dan kerajaan negeri dalam membantu mempercepatkan ke arah ekonomi negeri yang mampan.
"Fungsi majlis ini bagi merancang dan menggubal Pelan Induk Ekonomi Negeri Pahang untuk tempoh lima tahun," katanya.
Sesi penyerahan surat lantikan kepada tiga ahli MPEN, Mohamed Nazir, Tan Sri Dr Abdul Aziz Abdul Rahman dan Tan Sri Profesor Dr Noorul Ainur Mohd Nur berlangsung di Wisma Sri Pahang di sini, pada Rabu.
Sementara itu, Wan Rosdy berkata, MPEN juga bertanggungjawab memberi nasihat strategik tentang peluang pembangunan ekonomi, cabaran dan perkembangan ekonomi baharu yang fokus kepada pembangunan industri, inovasi tarikan pelaburan, perdagangan, pembangunan wilayah dan pembangunan tenaga kerja.
"Saya berharap melalui penubuhan MPEN, sektor ekonomi dapat dipacu dengan lebih baik, komprehensif serta berdaya saing untuk menjadikan Pahang sebagai sebuah negeri maju," ujarnya.