ISKANDAR PUTERI - Insiden gangguan bekalan elektrik (blackout) yang berlaku di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) Tambak Johor pada malam Selasa, akan dipastikan tidak berulang.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur negeri, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata, usaha penambahbaikan jangka masa pendek dan panjang serta kajian ke atas bekalan elektrik alternatif ke CIQ, BSI akan dilakukan.
"Selain itu, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri juga akan mengkaji laluan punca bekalan elektrik baharu khusus buat bangunan berkenaan.
"Ketika ini, bangunan tersebut hanya menerima bekalan elektrik daripada satu punca dengan tujuh set generator disediakan sebagai punca bekalan elektrik tambahan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya selepas mesyuarat bersama pengurusan BSI, TNB dan Jabatan Kerja Raya (JKR) di Kota Iskandar, di sini pada Rabu.
Mohamad Fazli memberitahu, insiden gangguan bekalan elektrik yang menimbulkan kekecohan di CIQ dan BSI itu tidak menjejaskan pergerakan keluar masuk pengembara antara kedua-dua negara.
"Kerja penyelenggaraan telah dilakukan oleh TNB bermula jam 8 malam Selasa hingga 4 pagi Rabu. Proses itu disokong oleh tujuh genset di bangunan CIQ tetapi malangnya satu genset tidak dapat beroperasi dengan baik.
"Kita ada masalah bermula jam 11 malam Selasa, yang mana elektrik ketika itu sekejap hidup sekejap mati, genset tersebut 'shut down' sepenuhnya pada jam 2 pagi.
"Bagaimanapun, kita berjaya selesaikan masalah bekalan elektrik itu selepas TNB buat kerja penyelenggaraan lebih kurang jam 9.30 pagi Rabu," ujarnya.
Menurut beliau lagi, walaupun e-gate tidak dapat berfungsi dengan baik semasa 'shut down' tetapi sembilan laluan kontra yang dibuka membantu melancarkan pergerakan pengembara.
Sejak malam Selasa, dilaporkan berlaku gangguan bekalan elektrik di CIQ BSI sehingga menimbulkan rungutan orang ramai yang berulang alik bekerja antara Malaysia dan Singapura.
Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi turut memberikan komen di Facebooknya dengan menyifatkan yang berlaku di CIQ BSI itu amat memalukan pengguna dan memalukan negeri.
"Apa yang berlaku ini amat menyusahkan pengguna dan memalukan negeri.
"Pihak TNB dan JKR telah diarahkan untuk menyelesaikan isu ini pada kadar segera,” tulisnya di Facebook beliau.
Tambak Johor merupakan antara laluan darat tersibuk di dunia, dengan lebih 300,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, berulang-alik setiap hari dari Johor Bahru ke republik itu.